Manndzri Cadang Kerajaan Tambah Baik Sistem Insurans Pekerjaan Ekonomi Gig

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib mencadangkan pihak Kerajaan meneliti usaha bagi menambah baik serta memperluas Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

Jelas beliau, Sistem Insurans Pekerjaan ini dapat memberi perlindungan sosial terhadap pekerja terutamanya sektor ekonomi gig.

“Kajian daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) terdapat sebanyak 6,657 pekerja p-hailing. Ia merupakan salah satu pekerjaan popular dalam ekonomi gig. Statistik menunjukkan 97.71 peratus merupakan golongan belia berusia 15 hingga 30 tahun.

“Kajian itu turut menunjukkan 63.39 peratus daripada jumlah pekerja p-hailing tidak mempunyai apa-apa simpanan, manakala 73.98 peratus pekerja p-hailing menjadikan pekerjaan tersebut sebagai sumber pendapatan utama.

“Ketika ini, tiada sebarang skim yang dapat membantu para pekerja dalam sektor ekonomi gig. Sekiranya mereka berdepan dengan sebarang masalah mahupun hilang punca pendapatan dan akibat dikenakan tindakan secara tidak adil,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada sesi Rang Undang-undang (RUU) Sistem Insurans Pekerjaan, petang tadi.

Mengulas lanjut, kata Mannzdri lagi, terdapat pekerja p-hailing terpaksa berdepan dengan pergantungan daripada tugas akibat daripada penilaian yang tidak adil.

“Ini menyebabkan mereka tidak dapat bekerja dan apakah bantuan yang dapat kerajaan salurkan untuk pekerja p-hailing.

“Sekiranya SIP ini diperluaskan kelak dan mereka berpeluang untuk turut sama-sama mencarum simpanan bagi menjamin perlindungan sosial mereka sekaligus menarik nafas lega sekiranya mereka dilindungi,” kata Pengerusi RISDA itu lagi.

Seterusnya kata Manndzri lagi, Keselamatan Sosial di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dapat menambah baik perlindungan kepada mereka.

“Berapakah jumlah permohonan faedah SIP yang dikemukakan kepada PERKESO dan serta jumlah individu yang berjaya dibantu dalam tempoh lima tahun semenjak ia diperkenalkan pada 2018.

“Caruman dalam SIP kurang membebankan hanya serendah 0.2 peratus dan kos sara hidup kian meningkat saban tahun.

“Langkah yang diambil oleh pihak kerajaan bagi menaikkan siling ini amat bertepatan terutamanya bagi golongan M40 yang turut berdepan sebarang risiko. Namun, adakah perlu kadar caruman itu ditingkatkan lagi?” soalnya.

Ujarnya, agar mereka yang berinsurans dapat menerima bantuan kewangan lebih tinggi berbanding sedia ada.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit