Jelajah Penerangan UMNO Ke Nibong Tebal, Teruskan Siri Gerak Kerja Salurkan Info Tepat

NIBONG TEBAL, 25 Jan – Penerangan UMNO Malaysia meneruskan siri jelajahnya ke Bahagian Nibong Tebal dengan dihadiri lebih 200 ahli akar umbi tempatan, malam ini.

Program tersebut dihadiri oleh Datuk Seri Azalina Othman Said selaku Ketua Penerangan UMNO merangkap Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi yang memberikan penjelasan berkaitan hala tuju gerak kerja masa hadapan jentera parti.

Terdahulu, program dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Negeri Pulau Pinang dan lagu UMNO, Bersatu, Bersetia, Berkhidmat.

Sebelum ucapan Azalina, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir mengambil tempat.

Untuk taklimat ceramah penerangan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom tampil selaku penceramah utama bagi mengupas berkaitan isu-isu semasa kepada khalayak agar dapat bergerak selari dalam usaha memperkasakan UMNO.

Dilaporkan, Siri Jelajah Penerangan UMNO dalam usaha melaksana gerak kerja turun padang ke bahagian-bahagian di seluruh negara atas matlamat untuk menyalurkan informasi tepat di samping memastikan hala tuju parti selari di semua peringkat.

Siri Jelajah Penerangan ini telah digerakkan pada 14 Mei lalu apabila majlis pelancarannya disempurnakan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Ibu Pejabat UMNO.

Ini diikuti oleh program jelajah sulung yang membuka tirainya di UMNO Bahagian Jerantut, disusuli Bahagian Tapah, Tampin, Putrajaya, Sabak Bernam, Rembau, Tanjung Karang, Lipis, Kuala Krau, Kuala Pilah, Jempol dan Bukit Gantang.

Bukan itu sahaja, siri jelajah ini telah menyeberang Laut China Selatan dengan meneruskan gerak kerjanya di Sabah iaitu ke UMNO Bahagian Putatan dan Pensiangan pada 1 dan 2 Jun lalu serta terbaru di Libaran, Beluran dan Kinabatangan minggu lalu. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit