PRK Sungai Bakap: Fokus Tingkat Undi Anak Muda – Rokiman Shah

NIBONG TEBAL, 24 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal sedang giat memberi fokus untuk meningkatkan jumlah undi anak muda sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang bakal berlangsung pada 6 Julai ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal, Rokiman Shah Haron berkata, memilih calon yang sealiran dengan kerajaan negeri mahupun persekutuan sudah semestinya bakal memberikan imbuhan kepada rakyat.

“Penduduk di Sungai Bakap perlu memilih calon Kerajaan Perpaduan ini disebabkan kita melihat kepada situasi di Pulau Pinang yang ditadbir oleh Kerajaan Perpaduan. Kita mengharapkan apabila penduduk di Sungai Bakap ini memilih calon Kerajaan Perpaduan, ia juga selari dengan kerajaan persekutuan.

“Kemudian, calon daripada Kerajaan Perpaduan ini amat sesuai kerana mempunyai sifat ketokohan yang tinggi. Untuk makluman, beliau juga adalah bekas guru saya. Beliau cukup dengan visi dan misi yang boleh laksanakan di Sungai Bakap ini. Itu yang kita harapkan,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, pelbagai program berskala kecil telah dilaksanakan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal untuk menarik minat anak-anak muda khususnya bagi memberi mandat kepada Kerajaan Perpaduan.

“Gerak kerja Pergerakan Pemuda UMNO ini kita lebihkan kepada turun bertemu dengan rakyat dan melaksanakan program berskala kecil. Di samping itu, kita juga banyak memberikan penerangan tentang mengapa kita akhirnya bersama dengan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Program-program ini dilaksanakan secara santai seperti buat BBQ, tukar minyak hitam motorsikal… sesuai dengan keperluan orang muda,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berharap segala program yang telah dianjurkan dapat memberi impak positif kepada rakyat khususnya anak muda untuk memilih calon Kerajaan Perpaduan.

“Kita berharap agar undi anak muda dapat ditingkatkan sebab kita tengok sebelum ini pun agak susah untuk melihat anak muda menyokong Kerajaan Perpaduan.

“Jadi, dengan usaha yang kita buat ini… kita buat penerangan, program supaya ia sampai dengan telus kepada mereka. Maka, saya ingin menyeru anak-anak muda di Sungai Bakap ini agar jangan lupa untuk memilih calon Kerajaan Perpaduan demi kebaikan kita bersama,” katanya lagi.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin untuk merampas kembali kerusi kubu kuat Pkr itu.

Manakala PN yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal Abidin Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula hari ini hingga 11.59 malam pada 5 Julai dengan pengundian awal pada 2 Julai.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

PRK berkenaan merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit