PRK Sungai Bakap: Buat Pilihan Tepat, Pilih Wakil Rakyat Terbaik – Rashidi

NIBONG TEBAL, 24 Jun – Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal, Rashidi Zinol menyeru rakyat di Sungai Bakap membuat pilihan tepat dengan memilih wakil rakyat yang terbaik sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang bakal berlangsung pada 6 Julai nanti.

Jelasnya, sekiranya rakyat memilih untuk mengekalkan Perikatan Nasional (PN) untuk kawasan tersebut, sudah semestinya permasalahan rakyat tidak dapat diselesaikan dengan tuntas ekoran mereka bukanlah sebahagian daripada kerajaan negeri mahupun persekutuan.

“Kerajaan Perpaduan itu sudah tentu kerajaan yang mentadbir. Nama pun Kerajaan Perpaduan. Kalau kita memilih orang yang tidak bersama dengan Kerajaan Perpaduan hari ini, tentulah kalau menang sekalipun tetap akan menjadi pembangkang.

“Apabila menang sebagai pembangkang, apa yang mereka boleh buat untuk bantu rakyat? Benda mudah yang saya nak ajar masyarakat fikir. Kalau kita menang, kita tak boleh bantu rakyat dan dalam keadaan kita menang, kita seronok kita menang… akhirnya apabila rakyat mengadu hal masalah rakyat dan masyarakat, mereka tidak dapat menyelesaikannya.

“Disebabkan mereka ini adalah pembangkang dan kita tidak dapat sokongan daripada kerajaan negeri mahupun pusat, akhirnya siapa yang merana? Sudah tentu rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh berkata, beliau mengharapkan agar rakyat membuat pilihan untuk memberi mandat kepada Kerajaan Perpaduan di kawasan tersebut.

“Jadi, saya mengharap sangat orang Sungai Bakap membuat pilihan tepat pada kali ini… menyokong wakil daripada Kerajaan Perpaduan untuk bersama-sama dengan kerajaan negeri dan pusat. Insya-Allah segala permasalahan kita akan ada saluran yang lebih mudah untuk diselesaikan. Kita juga mengharap sokongan daripada pemimpin-pemimpin Melayu di Pulau Pinang.

“…kerana pada hari ini kita cuma ada tiga orang yang mewakili suara orang Melayu di Pulau Pinang dan kita harap Sungai Bakap ini menambah satu lagi untuk bersama dengan kerajaan negeri. Insya-Allah, saya yakin kerajaan negeri juga memberi sokongan dan selama saya berada dalam Kerajaan Perpaduan, kita mendapat sokongan penuh daripada kerajaan negeri dan juga pusat.

“Kita menyambut kerjasama baik daripada Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini. Bersama dengan rakan-rakan daripada Dap, Pkr… sama-sama berusaha untuk membina negara dan negeri bagi membentuk masyarakat muhibah, berpadu serta maju bersama,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau juga beranggapan bahawa adalah penting untuk seorang wakil rakyat membawa suara masyarakat diwakilinya terus kepada pihak berwajib bagi mencari jalan penyelesaian.

“Ya, semua juga orang cakap Perikatan Nasional (PN) akan (ganti UMNO) untuk mewakili suara orang Melayu, tapi ke mana suara itu? Akhirnya apabila kita menang, suara itu akan pergi ke mana? Apa yang penting, suara ini dibawa kepada kerajaan dan kerajaan membantu untuk menyelesaikan.

“Kalau hari ini kita bawa suara Melayu yang hanya digunakan dan cakap-cakap di kalangan pihak mereka sahaja, akhirnya tidak akan sampai ke kerajaan untuk diselesaikan. Kita kena bijak. Saya harap orang Melayu lebih membuka mata dengan pengalaman lapan bulan yang dahulu.

“Kita melantik wakil rakyat juga daripada kalangan orang Melayu. Saya tak nafikan. Tetapi suara yang dia bawa sampai ke mana? Tak mampu untuk berhujah masuk ke jabatan kerajaan dan bersama dengan kerajaan negeri untuk sama-sama membantu. Akhirnya yang rugi adalah masyarakat Sungai Bakap sendiri,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, kebanyakan peruntukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak dapat disalurkan dengan terus kepada rakyat kerana wakil rakyat PN tidak memainkan peranan mereka sebaik mungkin.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang ini juga mempunyai peruntukan yang banyak untuk membantu masyarakat. Jadi mahu peruntukan ini sampai ke bawah. Kalau kita tengok daripada pihak sana (PN) yang menang, mereka juga tidak dapat maklumat. Mungkin tak sampai ataupun mereka tidak mencari.

“Akhirnya, ia jadi masalah kepada rakyat. Saya harap pada kali ini buatlah pilihan yang tepat. Saya bagi pihak Barisan Nasional (BN) bersama dengan Kerajaan Perpaduan hari ini sangat-sangat menyokong dan kita bersama-sama dengan gerakan UMNO. Kita juga memberi sokongan yang penuh kepada jentera UMNO dan BN. Kita memberi satu kekuatan kepada jentera pada kali ini untuk bergerak lebih agresif.

“Insya-Allah saya harap orang Melayu di Sungai Bakap memberi sokongan lebih daripada 40 peratus. Sebelum ini, kita dapat dalam lebih kurang 20 peratus. Saya yakin, dengan sokongan masyarakat Cina dan India, kita akan menang di Sungai Bakap,” katanya lagi.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin untuk merampas kembali kerusi kubu kuat Pkr itu.

Manakala PN yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal Abidin Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula hari ini hingga 11.59 malam pada 5 Julai dengan pengundian awal pada 2 Julai.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

PRK berkenaan merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit