MINDEF Yakin Lima LCS Siap Dibina Mengikut Jadual

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menaruh keyakinan bahawa projek pembinaan lima buah Kapal Tempur Pesisir (LCS) dapat diserahkan kepada pihak Tentera Laut DiRaja Malaysia mengikut tempoh masa yang telah dirancangkan secara berperingkat mulai Ogos 2026.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ini kerana pencapaian ini telah terbukti pada 23 Mei 2024 lalu apabila LCS pertama telah berjaya diluncurkan ke permukaan air di Limbungan LUNAS, Pangkalan TLDM Lumut mengikut jadual kontrak.

Beliau juga turut sama memaklumkan kemajuan empat lagi LCS yang masih lagi dalam pembinaan.

“Mengenai kemajuan pembinaan LCS 2 untuk makluman ketika ini ialah sebanyak 64.66 peratus dan saya mengambil kesempatan untuk maklumkan bagi yang lain-lain, LCS 3 56.48 peratus LCS 4 51.10 peratus dan LCS 5 42.33 peratus,” katanya.

Mohamed Khaled berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu beliau turut sama menyentuh mengenai jumlah bayaran yang telah dibuat bagi pembinaan LCS 2, katanya berdasarkan kontrak yang telah ditanda tangani, kementerian tidak melaksanakan bayaran mengikut kemajuan setiap kapal secara individu.

Sebaliknya menurut beliau, bayaran dilaksanakan mengikut kemajuan keseluruhan projek LCS seperti mana pandangan daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Kuasa Siasatan Tadbir Urus Perolehan dan Kewangan Kerajaan.

“Selaras dengan perkara ini, kerajaan telah membayar 7.15 bilion iaitu bersamaan 63.69 peratus berbanding perancangan asal pembayaran iaitu 68.43 peratus berdasarkan kontrak mengikut kemajuan semasa perolehan lima kapal LCS secara keseluruhannya,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.