Saling Pupuk Kerjasama… Fokus Gerak Kerja Hingga Ke Akar Umbi – Bung Moktar

SEPANGGAR, 23 Jun – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengingatkan seluruh ahli parti itu agar saling memupuk kerjasama dan menolak budaya serta tingkah laku yang boleh melemahkan lagi parti.

Menurut beliau jika parti kuat ianya akan disegani dan dihormati baik pihak lawan mahu pun kawan dalam usaha berdepan pelbagai cabaran serta dugaan mendatang.

“Ini saya memperingatkan tuan-tuan, khususnya di bahagian-bahagian dan semua peringkat. Bekerjasamalah, pupukkan semangat setiakawan, kesetiaan itu, wala’ kita itu. Kesetiaan kepada parti, pemimpin. Melainkan pemimpin itu menyuruh kita melakukan maksiat, maka wala’ itu sudah tidak ada di sana.

“Tapi selagi pemimpin itu belum menyuruh kita untuk menuju jalan kehancuran, jalan maksiat, maka kita perlu taat pemimpin itu. Inilah kekuatan yang perlu kita pupuk untuk memastikan UMNO akan terus segar-bugar, dihormati dan disegani oleh kawan-kawan kita.

“Harus ingat kalau kita kuat rakan hormati, lawan takut tapi jika kita lemah asyik berbalah, asyik cuba menjatuhkan maka kita tidak akan dapat mencapai apa yang dihasratkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Mesyuarat UMNO bahagian Sepanggar, di sini petang semalam.

Majlis perasmian berkenaan disempurnakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut serta Ketua UMNO Sepanggar, Datuk Yaakub Khan dan pimpinan lain serta perwakilan UMNO bahagian berkenaan.

Bung seterusnya menegaskan seluruh ahli serta jentera parti pelbagai peringkat perlu bekerja sebaiknya dan turun ke akar umbi dengan fokus masing-masing.

“Kita fokus dengan kerja kita, lupakan soal calon. Bekerja dan turun ke bawah. Yang penting, UMNO sepanggar dan seluruh bahagian yang lain bangkit daripada lena kita.

“UMNO negeri Sabah mesti bangkit. Bukan bangkit atas seruan mulut, bangkit dari jiwa kita, hati kita, naluri kita. Bangkit daripada ini. InsyaAllah kita akan mencapai apa yang kita cita-citakan. Tahniah kepada UMNO bahagian Sepanggar yang mengadakan mesyuarat petang ini,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.