PRK Sungai Bakap… Manifestasi Cara Kerja Kerajaan Perpaduan – Mohd Hilmi

NIBONG TEBAL, 23 Jun – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang, Mohd Hilmi Elias berharap agar Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap bakal menjadi manifestasi kepada cara kerja Kerajaan Perpaduan.

Ujarnya, PRK ini sudah semestinya tidak akan mengubah apa jua kedudukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dinaungi oleh Kerajaan Perpaduan dan mempunyai majoriti dua pertiga.

“PRK kali ini di N.20 Sungai Bakap tidak akan mengubah kedudukan kerajaan negeri meskipun sekiranya Pakatan Harapan (PH) ataupun Perikatan Nasional (PN) menang sekalipun. Ia tidak akan mengubah kedudukan kerajaan negeri yang pada ketika ini sangat selesa dengan dua pertiga.

“Cuma, mungkin ada sedikit perbezaan. Kalau kita lihat sebelum ini, calon Pas daripada PN iaitu allahyarham Yang Berhormat (YB) Zamry yang menang di Sungai Bakap dilihat tidak dapat melaksanakan beberapa tugasannya kerana kekangan dari segi peruntukkan agak terhad dan juga kesihatan yang membelenggu beliau.

“Jadi, kita mengharapkan untuk PRK kali ini orang Sungai Bakap membuat penilaian dari sudut yang dilihat akan memberi kebaikan kepada mereka,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, sekiranya rakyat di Sungai Bakap memberikan peluang kepada calon Kerajaan Perpaduan untuk menjadi wakil rakyat, sudah semestinya segala permasalahan dapat diselesaikan dengan mudah kerana beliau sealiran dengan kerajaan negeri dan persekutuan.

“Jika dipilih calon daripada Kerajaan Perpaduan… yang kita tahu calon ini dilihat agak mempunyai potensi baik, bersih dan mudah dibawa untuk berkampen. Jadi, kalau dipilih Cikgu Joohari ini sebagai calon dan diangkat sebagai wakil rakyat pada 6 Julai nanti, kita yakin beliau mampu membawa pembangunan-pembangunan yang baik di Sungai Bakap.

“Ini kerana beliau selari dengan kerajaan negeri. Parti yang beliau naungi juga selari dengan kerajaan persekutuan dan kita yakin kalau dipilih Cikgu Joohari ini, beliau mampu menyelesaikan beberapa perkara. Beliau tidak mampu menyelesaikan semua perkara, tetapi beliau mampu menyelesaikan beberapa perkara yang mungkin membelenggu penduduk di Sungai Bakap.

“Kerana akhirnya kita kena faham bahawa tugas wakil rakyat adalah untuk membantu masyarakat di sekeliling dan juga di kawasan beliau,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau mengharapkan agar kerjasama di antara Barisan Nasional (BN) dan calon Pakatan Harapan (PH) ketika berkempen akan mempunyai nilai tambah jika dibandingkan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Untuk PRK kali ini, saya selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang dan juga Ketua Pemuda BN Negeri Pulau Pinang mengharapkan agar selain kita memantapkan calon Kerajaan Perpaduan, memastikan Cikgu Joohari ini menang… kita juga mengharapkan kerjasama ketika kempen di antara parti-parti Kerajaan Perpaduan ini akan ada tambah nilai kalau dibandingkan dengan PRN dulu.

“PRN dulu memang ada kerjasama yang baik, tetapi masih ada beberapa perkara kelompongan. Saya juga berharap agar PRK Sungai Bakap ini akan menjadi manifestasi kerja Kerajaan Perpaduan di negeri Pulau Pinang dan seluruh Malaysia. Saya mengalu-alukan kehadiran seluruh rakan-rakan daripada seluruh Malaysia yang difahamkan dan membantu kami di N20 Sungai Bakap.

“Saya mengharapkan orang-orang luar yang datang ke Sungai Bakar ini membawa vibe positif, janganlah kita bawa perkara-perkara yang negatif. Kita berkempen secara sihat, kedua-dua parti ini juga sahabat. Semoga kita membawa dimensi baharu untuk cara berpolitik di Malaysia. Kita amalkan secara politik yang matang. Saya mengharapkan pilihan raya ini akan berjalan yang lancar, tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku kerana akhirnya kita kena faham ini adalah memilih wakil rakyat untuk rakyat. Jadi janganlah kita menanam sentimen-sentimen yang tidak baik,” katanya lagi.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin untuk merampas kembali kerusi kubu kuat Pkr itu.

Manakala PN yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal Abidin Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula hari ini hingga 11.59 malam pada 5 Julai dengan pengundian awal pada 2 Julai.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

PRK berkenaan merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.