PRK Sungai Bakap: Kerajaan Perpaduan Ada Peluang Cerah Untuk Menang – Lokman Adam

NIBONG TEBAL, 23 Jun – Kerajaan Perpaduan mempunyai peluang yang cerah untuk menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, kata Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam.

Jelasnya, calon Kerajaan Perpaduan merupakan seorang anak jati tempatan Sungai Bakap, disukai masyarakat setempat dan tidak boleh dipertikaikan oleh pihak lawan.

“Pertama sekali, saya gembira kerana penyokong Kerajaan Perpaduan turun dengan cukup ramai pada hari penamaan. Melimpah dan saya rasa kita jauh lebih ramai berbanding dengan geng-geng sebelah sana, Perikatan Nasional (PN).

“Keduanya, salah satu nilai tambah Kerajaan Perpaduan dalam pilihan raya kali ini, kita ada seorang tokoh yang saya rasa undispute, tak boleh dipertikaikan. Sejak namanya dicalonkan sebagai calon pilihan raya, tidak ada sebarang isu negatif.

“Semuanya menyambut baik… beliau orang tempatan sini, pernah jadi guru di beberapa buah sekolah di sini… guru besar dan sebagainya. Ini memudahkan orang ramai untuk membuat pilihan. UMNO pun gembira dengan pencalonan Dr Joohari. Saya yakin beliau mempunyai peluang yang sangat cerah untuk menang insya-Allah,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, para pengundi di kawasan Sungai Bakap seharusnya memilih wakil rakyat yang sealiran dengan kerajaan negeri dan boleh menyelesaikan permasalahan rakyat setempat.

“Kita kena pilih calon Kerajaan Perpaduan. Kita nak pilih calon yang boleh menyelesaikan masalah di rakyat DUN Sungai Bakap. DUN Sungai Bakap dalam kawasan Pulau Pinang dan ian diperintah oleh Kerajaan Perpaduan.

“Selain daripada menjadi jambatan kepada rakyat untuk bersama dengan negeri, Dr Joohari juga boleh menjadi jambatan kepada rakyat dengan Kerajaan Pusat. Kerajaan Pusat pun di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Jadi, kalau kita boleh bawa lebih banyak kebaikan untuk rakyat, kenapa kita nak pilih calon yang hanya mampu untuk menjadi pembangkang dan mungkin tak boleh buat apa-apa selain daripada membangkang,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar para pengundi di Sungai Bakap menggunakan undi mereka sebaiknya dengan memberi mandat kepada calon Kerajaan Perpaduan.

“Jadikan contoh, ahli-ahli Parlimen, ahli-ahli DUN, PN hari ini. Masa mereka nak bertanding, bukan main lagi mereka boleh bayar, mereka boleh sogok dan macam-macam.

“Tapi apabila rakyat datang cari mereka selepas pilihan raya, mereka memberikan pelbagai alasan. Jadi, kenapa nak cari seseorang yang hanya akan beri alasan kepada rakyat. Jadi, pilihlah Dr Joohari.

“Harapan saya supaya anak-anak muda dan juga pengundi-pengundi Sungai Bakap daripada luar, daripada dalam… pastikan setiap undi itu penting dan berharga. Ini kawasan yang kita pernah kalah hanya dengan majoriti seribu lebih. Pulanglah ke Sungai Bakap untuk mengundi Dr Joohari, calon Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin untuk merampas kembali kerusi kubu kuat PKR itu.

Manakala PN yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal Abidin Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula hari ini hingga 11.59 malam pada 5 Julai dengan pengundian awal pada 2 Julai.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

PRK berkenaan merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.