Jelajah Penerangan UMNO: Bukit Gantang Jadi Lokasi Seterusnya Di Perak

BUKIT GANTANG, 23 Jun – Penerangan UMNO Malaysia meneruskan siri jelajah ke utara Negeri Perak di mana pada kali ini diadakan bagi UMNO Bahagian Bukit Gantang.

Bertempat di Dewan UMNO Bahagian di sini, seawal jam 8.30 pagi ia dihadiri hampir tiga ratus ahli akar umbi dan pendukung parti.


Program dimulakan dengan ucapan aluan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bukit Gantang Mohd Kamaruddin Abu Bakar dan wacana Perak Sejahtera yang menampilkan Naib Ketua UMNO Bahagian Ahmad Saidi Mohamad Daud serta ucapan Ketua UMNO Bahagian Mohammad Sollehin Mohamad Tajie dalam menyampaikan pelbagai pengisian yang mampu menambah pengetahuan isu semasa akar umbi.

Turut ditampilkan, slot Hala Tuju Penerangan yang disampaikan wakil dari Penerangan UMNO Malaysia.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Jamil Khir Baharom selaku penceramah utama mengambil peluang merungkai pelbagai isu semasa berkaitan politik dan negara selain menggarap hala tuju bagi memastikan Penerangan UMNO di semua peringkat bergerak selari khususnya ke arah pengukuhan parti.

Menerusi program terbabit, penerangan berkaitan isu-isu semasa diaplikasi sebagai manfaat kepada ahli-ahli akar umbi agar dapat disampaikan informasi tepat kepada kumpulan sasar melalui pelbagai kaedah.

Diharapkan segala pengisian yang telah disediakan oleh Penerangan UMNO Malaysia ini dapat memberikan ilham kepada para pemimpin, ahli dan akar umbi parti untuk terus bekerja dengan lebih kuat bagi menempuhi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 yang akan datang.

Jelajah Penerangan UMNO Malaysia ini adalah hasil idea yang dicetuskan oleh Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said dan mendapat sokongan dari kepimpinan parti serta anggota di akar umbi.

Bukit Gantang merupakan lokasi kedua bagi Negeri Perak yang mana sebelum ini telah diadakan untuk UMNO Bahagian Tapah. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit