Keberadaan UMNO/BN Dalam Kerajaan Perpaduan Demi Jaga Kepentingan Rakyat – Adnan

KUALA LUMPUR, 22 Jun – Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan berkata keberadaan UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan adalah demi menjaga kepentingan rakyat.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah berkata, sebagai parti yang berpengalaman UMNO/BN mahukan pembelaaan kepada rakyat secara berterusan meliputi pelbagai perkara termasuk penambahbaikan kemudahan infrastruktur, pendidikan dan sebagainya.

“Secara realitinya jika kita tidak bersama dengan kerajaan ini kita tidak ada kuasa untuk membantu.

“Saya sendiri pun sebagai ahli Parlimen pun ada peruntukan untuk kawasan. Malah kita lihat sekarang ini sebelah sana (pembangkang) pun kalau tengok di Parlimen pun mereka mohon peruntukan.

“Peruntukan bukan untuk kita sendiri tetapi peruntukan Parlimen membantu pembangunan di kawasan,” katanya ketika ditemui UMNO Online pada Jelajah Penerangan UMNO Malaysia yang diadakan di UMNO Bahagian Kuala Pilah.

Beliau dalam pada itu turut meluahkan penghargaan kepada Penerangan UMNO Malaysia yang menganjurkan jelajah tersebut bagi berkongsi platfrom memperkukuh komunikasi di bahagian bagi memberi pemahaman kepada akar umbi berkenaan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Menurut beliau, ini kerana kepimpinan bahagian dan ahli akar umbi memainkan peranan penting dalam memberikan penjelasan kepada ahli UMNO dan rakyat berkenaan dinamika politik semasa di peringkat nasional dan negeri.

“Kita harus memberikan penjelasan dan berkomunikasi dengan mereka tentang perkongsian kuasa ini bagi mewujudkan Kerajaan Perpaduan seperti dinyatakan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Perlu jelaskan kepada orang UMNO dan yang menyokong UMNO tentulah ada sedikit halangan tapi perlu kita tangani sebagai pemimpin dan menunjukkan bahawa UMNO ini dalam konteks Negeri Sembilan ini kita sebenarnya bukan bersaing dengan Dap, kena faham perkara tu.

“Tentulah ia mengambil masa sikitlah kerana ini bukan macam kunyit dan kapur boleh terus bertukar begitu saja tapi perlukan berikan kefahaman kepada  pemimpin lokal dan masyarakat bahawa dengan kuasa ini kita boleh membantu rakyat itu penting,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.