Jelajah Penerangan UMNO Ke Jempol, Beri Semangat Dan Perjelaskan Isu Semasa

JEMPOL, 22 Jun – Penerangan UMNO Malaysia meneruskan siri jelajahnya ke Jempol dengan dihadiri lebih 200 ahli akar umbi parti.

Bermula di Tampin pada bulan lalu, bahagian Jempol merupakan destinasi keempat Jelajah Penerangan UMNO bagi Negeri Sembilan.

Diadakan di Dewan Gemilang, Maktab Sains Mara (MRSM) Serting, Bandar Seri Jempol program ini bermula pada jam 3.00 petang dengan ceramah penerangan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Ketua UMNO Bahagian Jempol, Mustapha Nagoor; Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim; ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir dan pemimpin bahagian serta akar umbi.

Program ini menyampaikan pelbagai pengisian yang mampu menambah pengetahuan isu semasa untuk manfaat akar umbi agar dapat menyampaikan maklumat yang tepat dan holistik kepada golongan sasar di kawasan setempat.

Selain itu, ia juga menjadi perisai bagi semua ahli dan pendukung parti untuk menangkis pelbagai dakwaan negatif, tohmahan dan fitnah yang dilemparkan pihak lawan.

Jelajah Penerangan UMNO Malaysia ini dicetuskan oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said yang ternyata mendapat sokongan daripada kepimpinan parti serta akar umbi.

Diharapkan segala pengisian yang telah disediakan oleh Penerangan UMNO Malaysia ini dapat memberikan ilham kepada para pemimpin, ahli dan akar umbi parti untuk terus bekerja dengan lebih kuat bagi menempuhi Pilihan Raya Umum ke-16 yang akan datang.

Untuk rekod, Majlis Pelancaran Jelajah Penerangan UMNO ini telah berlangsung pada 14 Mei lalu dengan disempurnakan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Ibu Pejabat UMNO.

Ini diikuti oleh program jelajah sulung yang membuka tirainya di UMNO Bahagian Jerantut, disusuli Bahagian Tapah, Tampin, Putrajaya, Sabak Bernam, Rembau, Tanjung Karang, Lipis dan Kuala Krau.

Bukan itu sahaja, siri jelajah ini telah menyeberang Laut China Selatan dengan meneruskan gerak kerjanya di Sabah iaitu ke UMNO Bahagian Putatan dan Pensiangan pada 1 dan 2 Jun lalu serta Kinabatangan pada 21 Jun. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit