BN Beri Komitmen Bantu Calon Kerajaan Perpaduan Hadapi PRK Sungai Bakap

KUALA LUMPUR, 22 Jun – Kesemua parti komponen dan friends of Barisan Nasional (BN) akan memberi komitmen dalam mempersiapkan semua jentera parti bagi membantu calon Kerajaan Perpaduan dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, kata Setiausaha Agung, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau juga memaklumkan bahawa BN memantau keputusan PPBM yang melucutkan keahlian enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Kata beliau, tindakan pembangkang tersebut dilihat secara jelas sebagai muslihat politik berbanding dengan keutamaan untuk mengekalkan kestabilan dan usaha memulihkan ekonomi negara.

“Mesyuarat juga memberi komitmen berterusan untuk BN membawa isu-isu rakyat yang memerlukan kesegeraan tindakan demi memelihara kesejahteraan hidup rakyat melalui langkah-langkah proaktif yang diambil bersama Kerajaan Perpaduan,” katanya menerusi kenyataan media.

Dalam pada itu Zambry turut berkata bersempena Ulang Tahun Jubli Emas Barisan Nasional yang ke-50, Dewan Tertinggi BN bersetuju untuk mengadakan beberapa program khas.

“Ia bagi memperkasakan hubungan parti dengan rakyat sebelum Sambutan Jubli Emas Barisan Nasional ke-50 yang bakal disambut pada hujung tahun 2024,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.