PRK Sungai Bakap: UMNO Gerak Jentera Parti Bantu Kemenangan Calon Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR, 21 Jun – UMNO akan menggerakkan seluruh jentera parti untuk membantu kemenangan calon parti Kerajaan Perpaduan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO, yang dipengerusikan Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato Onn, malam tadi.

“UMNO telah menamakan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (MT UMNO) selaku Pengarah Pilhan Raya BN DUN Sungai Bakap, Datuk Musa Sheikh Fadzir (Ketua Perhubungan UMNO Pulau Pinang) selaku Pengarah Operasi dan Datuk Seri Ahmad Maslan (MT UMNO) selaku Ketua War Room PRK Sungai Bakap,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Pada 12 Jun, bekas Pengarah Institut Aminudin Baki Cawangan Utara Joohari Ariffin diumumkan sebagai calon Kerajaan Perpaduan, yang akan bertanding pada PRK DUN Sungai Bakap.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai, sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 2 Julai.

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandang Nor Zamri Mohd Nor pada 24 Mei, akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri lepas, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Ros, dengan majoriti 1,563 undi.

Selain itu, Asyraf memaklumkan mesyuarat juga telah bersetuju bahawa Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan dari 21 hingga 24 Ogos 2024.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata mesyuarat MT UMNO turut membincangkan mengenai tanggungjawab UMNO untuk membantu kerajaan melaksanakan Dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

Asyraf berkata usaha itu bagi memastikan lebih 250,000 tempat pengajian TVET yang disediakan di 1,345 institusi TVET seluruh negara, dimanfaatkan dan dapat diisi sepenuhnya.

“UMNO mengucapkan penghargaan kepada Kerajaan yang menyahut cadangan UMNO untuk menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi GIG.

“UMNO akan terus memainkan peranan melalui kepimpinan yang berada dalam anggota pentadbiran, untuk memastikan 1.16 juta pekerja gig dibela dan dilatih melalui pelbagai program TVET peningkatan dan pemahiran semula, melalui Majlis TVET Negara yang juga dipelopori dan dipengerusikan oleh Presiden UMNO,” katanya. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.