PRK Sungai Bakap: Kempen Secara Sihat… Jangan Main Isu 3R – Mohd Hilmi

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang, Mohd Hilmi Elias mengingatkan semua pihak untuk tidak memainkan isu 3R (raja, agama, bangsa) semasa berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Menurutnya, Pergerakan Pemuda UMNO/Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang telah melaksanakan beberapa gerak kerja sebagai persiapan untuk menghadapi pilihan raya tersebut.

“Untuk gerak kerja pemuda Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 Sungai Bakap, Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang khususnya telah mengadakan beberapa mesyuarat.

“Pertama, kita adakan mesyuarat di kalangan Ketua-Ketua Pemuda UMNO Bahagian seluruh Negeri Pulau Pinang. Kita turut bersama dengan Adam Adli, menyelaraskan mesyuarat Pemuda Perpaduan. Kemudian, kita juga telah mengadakan mesyuarat dengan semua jawatankuasa pemuda di Parlimen Nibong Tebal dan juga pemuda-pemuda di N.20 Sungai Bakap.

“Terdapat beberapa gerak kerja yang akan kita laksanakan dan Pergerakan Pemuda diberi beberapa peranan. Ada yang akan terlibat untuk speaker corner, chanting dan ceramah-ceramah bersama dengan para pemimpin Kerajaan Perpaduan yang akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Kita telah diberi peranan untuk mengadakan beberapa program mendekati orang muda,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, dalam menghadapi PRK Sungai Bakap ini sudah semestinya pihak lawan akan memainkan ‘racist card’ untuk menarik minat para pengundi supaya memilih mereka.

“Dari sudut menghadapi PRK ini pemuda akan fokus untuk memastikan pengundi-pengundi muda khususnya ahli-ahli UMNO agar keluar beramai-ramai pada 6 Julai untuk mengundi calon Kerajaan Perpaduan.

“Sebenarnya kita akui akan ada beberapa isu yang dimainkan oleh pihak Perikatan Nasional (PN) ini antaranya tentang penarikan subsidi diesel. Kita menjangkakan ia akan terus dimainkan oleh pembangkang dengan begitu dahsyatnya.

“Kita juga melihat bahawa mereka akan tetap memainkan isu sentimen terutamanya isu perkauman. Jadi, perkara-perkara ini akan kita ‘take note’ dari semasa ke semasa. Cuma saya menyeru kepada semua pemimpin tak kira dari Kerajan Perpaduan mahupun pimpinan PN supaya janganlah kita memainkan ‘racist card’ ataupun memainkan isu 3R,” katanya lagi.

Tegasnya, perkara tersebut penting agar generasi baharu dapat dididik dengan situasi politik yang bersih dan tidak dicampuri dengan pelbagai sentimen negatif.

“Kita boleh berbeza pandangan ataupun berbalah dari soal dasar dan juga polisi. Tetapi elok dan molek kalau kita bercakap soal-soal pembangunan, dasar, polisi dan juga soal-soal bagaimana hari ini kalau setiap calon yang kita ketengahkan menang… apa yang kita nak buat untuk rakyat.

“Ini lebih penting bagi saya supaya kita dapat mendidik generasi muda pada masa kini untuk melihat politik itu dari sudut yang berbeza. Cukuplah kita menanam sentimen kebencian ataupun menanam sentimen 3R di kalangan pengundi dengan cara menakut-nakutkan mereka,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berharap agar kedua-dua pihak boleh berkempen dengan sihat dan matang terutamanya dalam isu yang memberi fokus kepada rakyat.

“Saya mengharapkan hari ini kedua-dua pihak, baik pihak perpaduan maupun pihak PN, kita main politik baharu. Kita cakap soal kebaikan untuk rakyat, kita cakap soal pembangunan untuk rakyat, dan kalau dipilih sekian-sekian calon daripada parti ini, apa benda yang boleh dibuat oleh calon ini.

“Saya mengharapkan kedua-dua calon ini juga bercakap soal apa yang mereka nak buat untuk pembangunan rakyat Sungai Bakap, apakah manifesto mereka… itu yang lebih penting. Daripada kita bercakap soal-soal yang menyimpang yang akhirnya memberi ‘vibe’ negatif kepada masyarakat di Sungai Bakap dan juga Malaysia keseluruhannya.

“…sebab seluruh Malaysia akan melihat Sungai Bakap kali ini dan kita mengharapkan pengundi-pengundi di sini disajikan dengan politik yang matang,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit