Ahmad Zahid Luah Harapan Keazaman Puteri UMNO, Bawa Perjuangan Wanita Muda Malaysia

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia berbesar hati mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam.

Pertemuan tersebut sebagai medium percambahan idea serta pertukaran pandangan berkenaan isu-isu semasa membabitkan wanita muda dalam mendepani cabaran ekonomi mendatang.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menerusi perkongsian di Facebook melahirkan penghargaan kepada Puteri UMNO yang cakna dengan masa hadapan wanita muda.

“Saya berasa sangat bertuah kerana dikunjungi barisan Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yang diterajui Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dan naibnya Siti Sokhleha.

“Di ruang masa yang ada, saya kagum mendengar cetusan idea dan pandangan tentang peranan Puteri yang dinamik dan mencabar untuk mengangkat suara dan aspirasi wanita muda Malaysia.

“Melihat semangat yang ditunjukkan oleh kepimpinan Puteri hari ini, saya yakin dengan tekad yang kuat, dengan keazaman yang jitu disulami strategi yang baharu.

“Pergerakan Puteri UMNO Malaysia akan terus mengorak langkah dalam memangkin kebangkitan UMNO,” katanya.

Ahmad Zahid dalam pada itu turut meluahkan harapan agar mesyuarat bahagian serta Wanita, Pemuda dan Puteri yang bermula hari ini berjalan lancar.

“Mesyuarat UMNO Bahagian-Bahagian akan bermula minggu ini. Ia juga melibatkan sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Puteri di seluruh negara.

I wish all the best to everyone. Bersidanglah, bertautlah. Saya sentiasa doakan agar Puteri UMNO terus mara,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit