Semoga Hubungan Malaysia-China Terus Berkembang, Kukuh – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap agar hubungan diplomatik di antara Malaysia dan China yang telah terbentuk selama 50 tahun akan terus berkembang dan kukuh.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau menyeru semua pihak untuk berusaha bagi memastikan hubungan diplomatik yang terbina itu akan terus memberi faedah kepada kedua-dua negara.

“Semoga hubungan diplomatik antara Malaysia dan China yang telah terjalin selama 50 tahun ini terus berkembang maju dan kukuh.

“Marilah kita bersama-sama berusaha untuk memastikan bahawa ikatan persahabatan dan kerjasama ini akan terus membawa kebaikan dan kemakmuran kepada kedua-dua negara,” katanya.

Untuk rekod, lawatan Li Qiang ke Malaysia yang bermula dari Selasa sehingga Khamis adalah sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China berikutan penandatanganan Kenyataan Bersama oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein dan Chou En Lai pada 31 Mei 1974.

Selain itu, Li Qiang juga akan mengadakan kunjungan menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Hubungan diplomatik Malaysia dengan China bertambah kukuh sejak penaiktarafan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada tahun 2013.

Sementara itu, China bersedia bekerjasama dengan Malaysia, menjadikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik sebagai titik permulaan baharu, untuk menyelaraskan strategi pembangunan, mempereratkan kerjasama yang saling mendatangkan manfaat dan meningkatkan pertukaran serta pembelajaran bersama antara tamadun, kata Perdana Menteri China Li Qiang.

Li berkata, China juga bersedia mempromosikan pembinaan komuniti China-Malaysia yang berkongsi masa depan dan memberikan sumbangan lebih besar kepada keamanan, kestabilan, pembangunan, dan kemakmuran rantau ini serta dunia secara keseluruhan.

China adalah rakan dagang terbesar Malaysia bagi 15 tahun berturut-turut sejak tahun 2009, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM450.84 bilion pada 2023. China juga antara pelabur asing terbesar dengan pelaburan langsung sebanyak RM14.5 bilion pada 2023. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit