Kenyataan Annuar Musa Bersifat Asabiyah, Muncul Menjelang PRK Sg Bakap – Gulam Muszaffar

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Kenyataan Tan Sri Annuar Musa berhubung perpaduan sebenar akan bertaut dan menjadi kuat sekiranya parti-parti Melayu UMNO, Pas dan Bersatu bergabung untuk agenda Melayu dan Islam dilihat ‘asabiyah’.

Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berpandangan kenyataan itu seakan terdesak dengan menjual ‘Melayu’ demi kelangsungan politik beliau dan dibuat ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap akan berlangsung dalam masa terdekat.

“Apakah selama ini UMNO tidak pernah memikirkan perpaduan Melayu. Cuba lihat agenda Muafakat Nasional (MN) yang dipelopori UMNO dan Pas sebelum ini tetapi ‘dihancurkan’ oleh Bersatu yang bercita-cita kononnya ingin mengantikan UMNO.

“Sebenarnya perpaduan di dalam negara bukan hanya berkisar Melayu tetapi adalah kesatuan semua kaum yang berada di dalam negara kita. Ya… memang betul Melayu teras dan tunjang perpaduan rakyat kerana adalah kaum majoriti tetapi harus diingat kaum Cina, kaum India, kaum/etnik di Sabah dan Sarawak mereka juga penyumbang kepada perpaduan kaum di dalam negara kita.

“Pemikiran seumpama ini amat sangat bahaya yang akan mewujudkan sentimen kaum seperti apa yang terjadi ketika PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) yang lepas iaitu pertembungan undi calon Melayu vs undi calon bukan Melayu. PN (Perikatan Nasional) menang 73 kerusi yang majoriti kertas undinya dari orang Melayu dan PH (Pakatan Harapan) pula mendapat 82 kerusi yang mana majoriti kertas undinya pula dari kaum bukan Melayu. Adakah ini perkembangan sihat buat negara majmuk seperti Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kata beliau lagi kerana itu dasar Parti Perikatan dan selepas tahun 1969 dijelmakan pula parti Barisan Nasional (BN) yang UMNO sebagai parti terasnya mengamalkan konsep kesederhanaan politik dengan menggabungkan kesemua parti politik yang sealiran dengannya mewakili semua kaum di dalam negara atas nama Bangsa Malaysia dan terbukti telah berjaya memeritah negara selama lebih 60 tahun.

“Siapa ingat slogan 1Malaysia oleh ‘Bossku’, ia adalah slogan yang paling berjaya pernah dicipta untuk rakyat. BRIM, rumah, klinik, kedai runcit, teksi, voucher sekolah dan banyak lagi produk di bawah konsep 1Malaysia menjadikan rakyat berbilang kaum menikmati kemudahan yang disalurkan.

“Itulah perpaduan yang sebenar dan asli bukan idea gabungan UMNO, Pas dan Bersatu. Zaman BN/UMNO memerintah perlu diingat Pas menjadi pembangkang dan Bersatu pun belum ada surat beranak. Ok sahaja perpaduan rakyat.

“Akhir kata, kenyataan Tan Sri Annuar Musa hanya satu sahaja saya nak ucapkan terima kasih kerana beliau mengatakan Pas dan Bersatu itu datang dari perut UMNO. Ini terbukti UMNO adalah ibu kepada Pas dan Bersatu. Ingat Daulat dan doa ibu tiada hijab di sisi ALLAH swt. Natijahnya jika derhaka kepada ibu, nasib boleh jadi anak seperti Si Tanggang yang disumpah menjadi batu,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.