PRK Sungai Bakap: Pastikan Kemenangan Dr Joohari – Tok Mat

REMBAU, 19 Jun – Menjadi tugas utama parti-parti yang bersama dalam Kerajaan Perpaduan untuk memastikan kemenangan calon daripada PKR yang akan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, pada Pilihan Raya Kecil (PRK), bulan depan.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan mesti berusaha kuat untuk memastikan calon, Dr Joohari Ariffin, mencapai kemenangan.

“Kita (Kerajaan Perpaduan) menurunkan calon daripada PKR kerana ia telah dipersetujui secara bersama, maka adalah tugas parti-parti yang bergabung atau yang bersama kerajaan untuk menentukan kemenangan calon Kerajaan Perpaduan.

“Tidak timbul soal lain atau hendak ke mana (buat pilihan) kerana telah setuju kedudukan calon, jadi, parti dalam kerajaan mesti berusaha dan bekerja kuat untuk mencapai kemenangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kampung Angkat Madani dan Ibadah Korban Aidiladha Kementerian Luar, di Dewan Orang Ramai Kampung Kanchong Rantau, di sini, semalam.

Kerajaan Perpaduan mempertaruhkan bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin, 60, daripada PKR manakala Perikatan Nasional (PN) menamakan Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail, 56, sebagai calon mewakili gabungan masing-masing.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai.

Kerusi DUN Sungai Bakap yang mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis kosong berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri daripada PAS pada 24 Mei lalu berikutan mengalami keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. – BHarian

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.