Subsidi Diesel: Jangan Salahkan Rakyat, Tingkatkan Penguatkuasaan

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menyarankan kerajaan untuk meningkatkan penguatkuasaan dan tidak menyalahkan rakyat apabila berlakunya ketirisan subsidi diesel.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya beliau berkata, rakyat merasa kesal bukanlah disebabkan penyelarasan subsidi tersebut tetapi ia berkaitan soal janji dan perlaksanaannya yang berbeza.

“Apabila kerajaan buat penyelarasan subsidi diesel, apa yang rakyat sangat marah bukanlah soal penyelarasan tersebut. Tetapi soal janji yang telah dilemparkan dulu dan perlaksanaan yang berbeza hari ini.

“Lagi rakyat marah apabila disalahkan pelbagai pihak menjadi punca penyelarasan subsidi diesel… salahkan nelayan dan salahkan penyeludup.

“Kalau dah tahu ada salah laku, ambillah tindakan. Kalau tidak cukup penguatkuasa untuk memantau tambahlah penguatkuasa bukan main persepsi ini salah… itu salah tetapi penguatkuasaan tiada. Admit it and move forward. Bukan salahkan mana-mana pihak,” katanya.

Menurutnya, penarikan subsidi secara total dan mengejut sudah semestinya akan memberi kesan kepada ekonomi rakyat.

“Rakyat boleh faham soal prinsip kenapa penyelarasan subsidi perlu dilakukan. Tetapi biarlah secara berperingkat bukan mengejut kerana sudah tentu ia akan mengakibatkan kejutan ekonomi rakyat.

“Sebab itu pada zaman Barisan Nasional (BN) dulu, BN penyelarasan subsidi kita buat berperingkat. Tetapi itupun dulu sampai berguling di atas jalan membantah.

“Kerajaan ada kuasa hari ini tetapi rakyat akan menilai,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, kerajaan menetapkan harga diesel di Semenanjung pada kadar RM3.35 seliter bermula Isnin (10 Jun 2024) selaras dengan perlaksanaan penyelarasan semula subsidi bahan api tersebut.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penetapan dibuat mengikut harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula ‘Automatic Pricing Mechanism’.

Menurutnya, untuk tempoh seterusnya, harga diesel semasa akan diumumkan pada setiap minggu, mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.