PRK Sungai Bakap: Pilih Pemimpin Yang Boleh Bawa Kestabilan Politik – Zaidi

TANJONG KARANG, 18 Jun – Kestabilan politik penting bagi meneruskan usaha untuk meningkatkan tahap ekonomi negara dan juga menaik taraf kehidupan rakyat, kata Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zin.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bangi menggesa rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap memilih pemimpin yang boleh menjaga keamanan, kestabilan dan kemajuan bagi kawasan ini.

“Kerajaan negeri Pulau Pinang adalah Kerajaan Perpaduan dengan memberikan undi pada calon Kerajaan Perpaduan sudah tentu masyarakat, penduduk di kawasan ini akan menikmati limpahan ekonomi dan kemajuan serta pembangunan.

“Sebelum ini DUN Sungai Bakap di bawah pembangkang, rakyat tidak dapat menikmati apa-apa kemajuan dan sekiranya calon Kerajaan Perpaduan ini menang dan menjadi sebahagian dari kerajaan negeri sudah tentu akan menikmati seperti DUN yang lain.

“Kestabilan kerajaan pusat dan negeri itu amat penting untuk menaik taraf kehidupan rakyat dan peningkatan tahap ekonomi negara serta memberi keyakinan kepada pelbagai pihak di luar untuk terus melabur di negara kita,” katanya.

Beliau juga yakin calon Kerajaan Perpaduan mampu merampas kembali DUN Sungai Bakap dan UMNO/BN sentiasa membantu sesiapa pun calon dari mana-mana parti komponen yang dikemukakan Kerajaan Perpaduan.

“Kita yakin DUN Sungai Bakap akan jadi milik Kerajaan Perpaduan dan UMNO/BN sentiasa membantu parti dalam Kerajaan Perpaduan. Kita telah ada persefahaman iaitu parti yang bertanding pada pilihan raya maka kita akan membantu.

“Sebagai contoh, pada PRK Pelangai parti dari Pakatan Harapan (PH) telah membantu UMNO/BN untuk memenangi kerusi DUN tersebut dan menang dengan bantuan mereka.

“Begitu juga di PRK Kuala Kubu Bharu dan parti dalam komponen PH bertanding dan menang. Ada juga undi dari penyokong BN dan terdapat peningkatan undi Melayu yang drastik menyokong calon Kerajaan Perpaduan. Jentera UMNO/BN pun bersungguh menjaga PDM tertentu,” katanya lagi.

Kata beliau lagi, jentera penerangan negeri Selangor akan turun membantu melalui penerangan dan juga komunikasi media sosial.

“Insya Allah… kita akan sentiasa bersiap siaga dan menunggu arahan sahaja bagi bantu jentera-jentera UMNO/BN melalui penerangan isu-isu semasa dan juga medsos,” jelas beliau.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang pada Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal ditetapkan pada 2 Julai. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit