Perlu Ada Perincian Berkaitan Penyasaran Subsidi Diesel, Utamakan Kebajikan Rakyat

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Langkah penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan bermula 10 Jun lalu telah menjadikan harga diesel naik kepada RM3.35 seliter berbanding harga RM2.15 seliter sebelum ini. 

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd Syauqi Ibnihajar Ahmad berkata sememangnya peningkatan harga bahan bakar ada korelasi langsung dengan peningkatan harga pelbagai barangan keperluan serta kos sara hidup.

Jelasnya, sebagai parti pemerintah yang dipilih rakyat, kerajaan hari ini perlu mengambil maklum berkaitan keluhan rakyat.

“Pihak kerajaan seharusnya memberi perincian yang lebih jelas dalam meyakinkan rakyat terbanyak bahawa pelarasan subsidi diesel serta pemberian subsidi bersasar ini tidak akan menyebabkan kenaikan harga barang yang mendadak dan kos sara hidup rakyat tidak akan terkesan teruk.

“Setidak-tidaknya penjelasan terperinci tentang bagaimana kawalan serta penguatkuasaan dibuat bagi memastikan pengeluar, pengilang dan peniaga tidak menaikkan harga barang sesuka hati.

“Harus dipastikan bahawa tidak ada golongan yang tercicir dalam mendapat bantuan subsidi bersasar atau ada yang terpaksa menanggung perbelanjaan bulanan lebih walaupun menerima subsidi. Kerana perkara ini pasti menyebabkan peningkatan harga barang-barang keperluan asas dan industri,” katanya.

Pada masa yang sama beliau turut mengutarakan tentang ‘golongan maha kaya’ yang sering disebut setiap kali berlaku pelarasan sesuatu subsidi atau kiraan bil utiliti, peningkatan harga, kenaikan cukai (SST), pengapungan harga barang keperluan dan sebagainya.

“Kenapakah setiap kali perubahan polisi, peningkatan cukai atau pelarasan subsidi diumumkan, semuanya melibatkan seluruh rakyat jelata. Kenapa belum ada polisi khusus yang dapat mengutip lebihan hasil daripada golongan maha kaya?

“Ramai rakyat di bawah sana mula mempertikaikan alasan yang diberikan kerajaan bahawa pelarasan sesuatu subsidi atau polisi baharu adalah untuk mengelakkan ketirisan hasil negara kepada golongan maha kaya,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, rakyat mengeluh seperti seolah-olah semua perlaksanaan baru memberi impak kepada rakyat terbanyak dan akhirnya rakyat biasa yang terkesan, sebaliknya golongan maha kaya tetap bertambah kaya.

“Kita tidak mahu melihat rakyat biasa yang tidak memiliki kenderaan diesel, tetapi tiba-tiba kos sara hidup mereka meningkat disebabkan oleh peningkatan harga barangan keperluan. Kini rakyat terbanyak menjadi lebih gementar menanti pengumuman berkaitan harga petrol pula.

“Kadangkala sesuatu polisi baharu itu tidak popular, tetapi dibuat untuk kepentingan negara, tetapi setidak-tidaknya, penerangan yang lebih terperinci dalam memberi kefahaman kepada rakyat perlu dibuat berkaitan sesuatu polisi baharu.”

Seterusnya kata beliau lagi cara yang lebih efektif membantu rakyat biasa dalam menghadapi impak kehidupan oleh polisi baharu tersebut perlu juga dilaksanakan dengan lebih teliti. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.