Konsistensi Kunci Utama Bawa Suara Pemuda Ke Arah Perubahan – Fariz Hazurin

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berpandangan bahawa komitmen untuk membawa perubahan dalam parti ini adalah satu langkah yang tepat dan sangat diperlukan.

Ini kerana katanya, ia adalah sejajar dengan tujuan asal penubuhan UMNO iaitu untuk memastikan agenda perjuangan agama, bangsa dan negara dapat direalisasikan dengan berkesan.

“Konsistensi adalah kunci utama dalam memastikan bahawa suara perubahan yang dibawa oleh pemuda-pemuda UMNO dapat diterjemahkan kepada tindakan yang nyata.

“Sikap ‘no fear, no surrender! Pemuda cara kita!’ adalah cerminan keberanian dan keazaman generasi muda yang tidak gentar menghadapi cabaran demi masa depan yang lebih baik untuk agama dan bangsa.

“Saya menghargai pendirian Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang menekankan bahawa perubahan mesti dilakukan secara berterusan walaupun sedikit demi sedikit,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, merujuk kepada kenyataan Dr Akmal selaras dengan pandangan Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub yang menegaskan bahawa UMNO harus menjadi platform untuk generasi muda yang mahukan perubahan.

“Saya bersetuju bahawa keberanian untuk berubah adalah langkah yang perlu diambil. Ini adalah penting untuk memastikan UMNO terus relevan dan mampu memenuhi cita rasa generasi muda yang inginkan kemajuan dan pembaharuan.

“Saya juga menyokong cadangan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, mengenai pentingnya memberi peluang kepada pemimpin muda sebagai calon wakil rakyat sebelum musim Pilihan Raya Umum (PRU).

“Pengalaman lalu menunjukkan bahawa keterlibatan pemimpin muda dalam politik adalah penting untuk memastikan UMNO dapat terus memainkan peranannya dengan efektif dan responsif terhadap kehendak masyarakat,” katanya lagi.

Seterusnya kata Fariz Hazurin lagi, beliau yakin dengan semangat dan komitmen yang diberikan kepada pemimpin-pemimpin muda maka UMNO akan terus relevan dalam arus politik.

“Saya yakin bahawa dengan semangat dan komitmen yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin muda kita, UMNO akan terus berdaya saing dan relevan dalam arus politik semasa.

“Marilah kita bersama-sama menyokong usaha-usaha ini demi masa depan agama, bangsa, dan negara yang lebih gemilang,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.