Mahkamah Perlembagaan Perlu Disegerakan, Tangani Isu Mereka Yang Mempermainkan Perlembagaan Malaysia

MENGAPA kita perlu melindungi Perlembagaan Negara? Soalan mudah tapi sukar mahu menjawabnya jika kita tidak arif tentang fungsi Perlembagaan Negara.

Pada umumnya, Perlembagaan Negara sangat penting kerana Perlembagaan Negara menjadi satu wahana yang dapat menjamin keamanan, keharmonian, kestabilan dan kemakmuran sesebuah negara itu.

Namun apabila perlembagaan itu tidak dihormati, malah dipersendakan maka berlakulah keadaan yang membawa mudarat kepada negara tersebut dan rakyatnya terutama sekali Negara Malaysia yang
terdiri dari berbagai kaum, budaya dan agama.

Kebelakangan ini terdapat peristiwa-peristiwa yang tidak lagi menghormati Perlembagaan Malaysia/Persekutuan. Misalnya mencabar penggunaan Bahasa Melayu dalam pendidikan.

Dalam Perlembagaan Malaysia Perkara 152, menyatakan bahawa Bahasa Melayu ialah Bahasa Kebangsaan. Sebagai Bahasa Kebangsaan, Bahasa Melayu bukan sahaja wajib dipelajari tetapi juga dihormati dan diperkasakan. Tidak ada kompromi dalam hal ini.

Ekoran isu PIBG Sekolah Cina bantah Bahasa Melayu dalam DLP (Dwi Language Programme) mengajar sains dan matematik telah mencetuskan pandangan bahawa kumpulan ini tidak menghormati Perkara 152 dalam Perlembagaan Malaysia.

Begitu juga Perkara 3 (1) yang menyatakan Agama Persekutuan ialah Agama Islam. Perkara ini menjamin agama-agama lain bebas diamalkan. Namun masyarakat perlu faham, sebagai agama rasmi Persekutuan maka Agama Islam mendapat peruntukan-peruntukan khas dan dilindungi undang-undang berbanding agama-agama yang lain.

Kes DLP itu dapat menambah lagi rekod tidak menghormati Perlembagaan Malaysia yang sudah banyak berlaku itu. Dengan adanya media sosial usaha mempersendakan Perlembagaan Malaysia akan berterusan dan mungkin akan lebih berani dan akan menggugat keselamatan negara.

Maka amat mendesak sekali satu mekanisme difikirkan untuk membendung usaha-usaha mempermainkan Perlembagaan Malaysia. Kerajaan perlu memgambil Tindakan tegas kepada mereka yang tidak menghormati Perlembagaan Malaysia.

Mereka yang bersalah perlu dibawa ke mahkamah untuk perbicaraan dan hukum. Namun proses ini sangat lambat kerana mahkamah punya pelbagai tugas yang perlu dilaksanakan.

Masa untuk membicarakan kes-kes tidak menghormati Perlembagaan sangat terhad. Sehubungan itu, sesetengah masyarakat berpendapat tidak salah mempersendakan
Perlembagaan Malaysia kerana tiadak ada hukuman yang jelas.

PEMENANG mencadangkan agar Mahkamah Perlembagaan diwujudkan di Malaysia bagi
menangani isu-isu yang berkaitan dengan tidak menghormati Perlembagaan Malaysia dengan segera dan serius.

Mereka yang di dakwa dan didapati bersalah hendaklah di kenakan hukuman
mandatori penjara atau di buang daerah atau di gantung kerakyatan seketika dan dirotan.

Mahkamah Perlembagaan bukan sesuatu yang asing kerana lebih kurang 85 buah negara di dunia yang telah punya Mahkamah Perlembagaan untuk memeliharaan kehormanian masyarakat dan memperkuatkan pentadbiran dan pengurusan negara.

Negara sedang melalui fasa yang kacau
apabila media sosial menjadi alat menyampaikan pelbagai pandangan tentang isu-isu yang kandungannya bersangkutan dengan perlembaaan.

Selain soal pencegahan, kerajaan juga perlu memperkasakan masyarakat dengan pengetahuan tentang Perlembagaan khasnya mengenai dengan kontrak sosial di antara kaum supaya mereka sedar isi kandungan Perlembagaan dengan baik dan tidak mudah terjebak dengan isu-isu yang dimainkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan diri sendiri.

Hal ini boleh dilaksanakan melalui sistem pendidikan di mana seperti Rukun Negara, aspek-aspek tertentu dalam Perlembagaan Malaysia perlu diketahui dengan baik tentang rasional dan kepentingannya dalam negara seperti Malaysia.

TAN SRI DATO’ SERI (DR) HAJI MOHD YUSSOF LATIFF
PRESIDEN PERSATUAN MELAYU PULAU PINANG (PEMENANG)

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit