Kuasai Teknologi AI Agar Tidak Dikelirukan – Zaidi

TANJONG KARANG, 16 Jun – Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zin berkata penjelasan yang diberikan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said merupakan penerangan yang cukup jelas dan di luar kotak pemikiran.

Katanya sebagai contoh, teknologi kecerdasan buatan (AI) mampu membawa lebih banyak impak positif dan memberi nilai tambah jika dimanfaatkan dengan sebaiknya.

“Media sosial sekarang ini telah pun berkembang dengan pesat dan pada masa akan datang nanti khususnya bagi hadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16 bukannya lagi Facebook, WhatsApp mahu pun TikTok namun kini aplikasi menggunakan AI.

“Bagaimana aplikasi AI boleh mempengaruhi pengundi pada masa akan datang dengan berbagai macam teknik penyamaran yang sudah tentu akan mengelirukan pengundi. Seperti contoh apa yang dikata oleh pemimpin parti akan ada penyamaran dari pemimpin kita dan sudah pasti akan mengelirukan pengundi.

“Kita mahukan pengundi siap siaga lebih awal serta mempelajari teknik AI agar tidak mudah dikelirukan. Kita tidak mahu kalah pada pilihan raya kerana kurangnya persiapan dan persediaan serta kesiapsiagaan ahli parti tentang kemungkinan-kemungkinan yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Jelajah Penerangan UMNO di Bangunan UMNO Tanjong Karang.

Turut hadir, Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said, Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak, kepimpinan dan ahli parti.

Pada masa yang sama Ketua UMNO Bahagian Bangi itu mengharapkan rakyat Tanjong Karang kembali memilih UMNO/Barisan Nasional (BN) setelah undi mereka dipersia-siakan oleh calon yang mereka pilih.

“Kita akan pastikan bahawa rakyat di Tanjong Karang kembali memilih UMNO/BN setelah melihat undi-undi mereka telah dipersia-siakan oleh calon yang mereka pilih pada PRU lepas.

“Insya-Allah, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Karang dalam jangkaan dan firasat boleh dapat balik pada UMNO dari pihak lawan. Walau pun telah bersama dengan Pakatan Harapan (PH) tetapi kerusi Tanjong Karang ini lazimnya milik UMNO dan akan dapat kembali kerusi ini,” jelas beliau.

Terdahulu, Jelajah Penerbangan UMNO telah membuka tirainya dan UMNO Bahagian Jerantut telah memulakan siri jelajah tersebut pada 18 Mei lalu.

Manakala Majlis Pelancaran Jelajah Penerangan UMNO ini telah berlangsung pada 14 Mei lalu dengan disempurnakan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Ibu Pejabat UMNO. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.