Kenyataan Sanusi Tidak Boleh Diterima, Gambarkan Hakikat Sebenarnya

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin melihat kenyataan Menteri Besar Negeri itu, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor berhubung permintaan rakyat yang tular di media sosial merupakan satu kenyataan yang tidak boleh diterima.

Bagi beliau kenyataan itu sangat menghina dan memperlihatkan kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN) itu tidak mampu dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat yang memerlukan.

“Bagi saya ini sangat menghina dan tak boleh diterima. Kenyataan ini juga menunjukkan bahawa kerajaan negeri yang ditunjangi oleh PN tak mampu bawa mandat yang telah diberikan dan gagal memahami denyut nadi rakyat.

“Kenyataan ini juga memberi mesej yang jelas bahawa kerajaan negeri dan Menteri Besar seumpama berada di dalam situasi yang serba tidak kena di mana tiada satu pun perancangan dan pengumuman yang dibuat berjaya dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.

Sanusi sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila tular ucapannya dalam satu rakaman video di dalam satu majlis di platform media sosial TikTok baru-baru ini.

Rakaman itu memaparkan ucapan Sanusi yang meminta rakyat negerinya berhenti menjadikan budaya meminta bantuan daripada kerajaan dan wakil rakyat Pas, seperti bantuan baiki dinding dan bumbung rumah.

Shaiful seterusnya menegaskan prinsip perjuangan UMNO sentiasa meletakkan rakyat di hadapan, sama sekali tidak memberi alasan bagi menutup prestasi menyedihkan akibat gagal berkhidmat kepada rakyat.

“UMNO hadir dalam apa jua keadaan untuk rakyat ketika kalah mahu pun menang. UMNO tidak pernah meletakkan ‘garisan’ khusus di antara kerajaan, parti dan rakyat itu sendiri.

“Kenyataan Sanusi ini harus ditimbang tara dengan baik oleh rakyat dalam pertimbangan mereka dalam proses memperbaharui mandat pada masa akan datang,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.