UMNO Beaufort Hargai Peranan KEMAS, Penting Bantu Majukan Rakyat

BEAUFORT, 15 Jun – Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat menegaskan bahawa peranan kerajaan melalui pelbagai agensi amat penting dalam membantu rakyat sebagaimana yang diusahakan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Dalam hal ini, beliau melahirkan penghargaan atas usaha yang dilaksana khususnya kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi lantaran komited dalam hal-hal berkaitan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sebagaimana dilaksana melalui KEMAS.

“Syabas dan tahniah juga kepada kepada Jabatan KEMAS Beaufort yang diketuai oleh Halick Udek bersama dengan tenaga pengajarnya atas usaha dalam menjayakan bengkel untuk warga setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perasmian Bengkel Kemahiran Keibubapaan Tabika/Taska KEMAS peringkat DUN N32 Klias tahun 2024, pada Khamis.

Ujarnya, perkembangan kanak-kanak itu sangat penting sejak lahir sehingga memasuki alam persekolahan formal.

“Kanak-kanak mempunyai perkembangan yang berbeza dan kecerdasan pelbagai. Kita sebagai ibu bapa dan masyarakat harus menghormati kepelbagaian ini. Dengan mempunyai pengetahuan mengenai perkembangan kanak-kanak ini, saya yakin kita mampu melahirkan generasi masa depan yang cemerlang dan terbilang.

“Saya yakin melalui Bengkel Kemahiran Keibubapaan ini, ia dapat meningkatkan dan memberikan pengetahuan, kemahiran, serta pendedahan kepada ibu bapa mengenai perkembangan awal kanak-kanak yang meliputi aspek sosial, emosi, fizikal, intelek dan rohani mereka.

“Melalui bengkel ini para ibu bapa telah didedahkan dengan pelbagai teknik dan strategi dalam mendidik anak-anak, selain boleh dijadikan platform untuk ibu bapa berkongsi pengalaman serta bertukar pandangan dalam usaha memperbaiki kaedah pendidikan kita.”

Hadir sama ialah Timbalan Pengarah Unit Kewangan dan Pembangunan KEMAS Negeri Sabah, Awang Asri Abdul Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Beaufort Juriffah Safflie; Penolong Pegawai Pendidikan Awal Kanak-kanak KEMAS Daerah Beaufort, Helen Lawrence danPenolong Pegawai Pendidikan Daerah, Unit Pendidikan Khas, Sektor Pembelajaran, Pejabat Pendidikan Daerah Beaufort, Nik Suzilawati Enderin.

Turut bersama dalam program tersebut ialah Naib Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Md. Rashid Mathon dan Ketua Puteri UMNO Beaufort, Munira Sarrie. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.