‘Penerangan Ibarat Nadi Dalam Sesebuah Kempen Politik’ – Ismail

KUALA PILAH, 15 Jun – Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata penerangan merupakan elemen penting dalam sesebuah kempen politik, sebagai usaha memberi pemahaman kepada rakyat berkenaan sesuatu isu.

Menurut beliau, skop penerangan yang lebih meluas pada masa kini menuntut komitmen yang lebih tangkas apabila ia bukan hanya bersifat penerangan secara bersemuka bahkan menggunakan teknologi maklumat.

“Penerangan ini adalah ibarat nadi, kita perlukan penerangan dari semasa-semasa sama ada melalui bersemuka seperti ini atau melalui media sosial.

“Hari ini kita perlukan sedikit sebanyak penerangan dan penerangan ini penting kerana kita selaku pemimpin kena memahami keadaan parti itu mengapa kita berada dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Jelajah Penerangan UMNO Malaysia di UMNO Bahagian Kuala Pilah di Dewan Orang Ramai Senaling, di sini.

Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said; Timbalan Ketua UMNO Bahagian merangkap Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan; Ketua Wanita UMNO Bahagian, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid; Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Suraya Yaacob dan kepimpinan bahagian.

Bagi mendepani landskap perubahan penyaluran maklumat, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah memaklumkan bahagian tersebut telah melaksanakan Bengkel Propaganda Politik UMNO pada minggu lalu.

“Untuk media sosial bahawa Biro Penerangan Bahagian bagi Kuala Pilah sudahpun melaksanakan Bengkel Propaganda politik pada minggu lepas.

“Bagaimana cara kita menafikan tohmahan terhadap parti kita pada hari ini saya bicarakan ini kepada ketua penerangan dan khusus kepada itu 70 orang ahli-ahli UMNO daripada Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri pemuda-pemuda dan juga bahagian yang telah menjadi peserta dalam bengkel disebut,” ujar beliau.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senaling turut sama menyentuh berkenaan keberadaan UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam penubahan Kerajaan Perpaduan di negeri itu.

“Hari ini kita (UMNO/BN) di Negeri Sembilan ini bukan tumpangan tetapi adalah sebahagian daripada kerajaan yang sama-sama mempunyai Kerajaan Perpaduan.

“Kita bukan menempel kerana kita mempunyai kuasa kerana menang dengan 14 kerusi, satu komponen parti yang paling besar menang.

“Semua orang perlukan kita untuk menubuhkan kerajaan kerana hakikatnya tidak ada satu parti pun yang mempunyai cukup kerusi untuk mentadbir negeri ini,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.