UMNO Kekal Jadi Sandaran Rakyat, Meski Dinamika Politik Berbeza – Azalina

KUALA PILAH, 14 Jun – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata parti ini terus menjadi sandaran rakyat meskipun negara berdepan dinamika politik berbeza.

Menurut beliau, ini dapat dilihat apabila UMNO yang pernah menjadi pembangkang suatu ketika dahulu namun masih menjadi pilihan rakyat untuk mendapatkan bantuan.

“Cuba bayangkan dulu masa kita jadi pembangkang, ketika kerajaan dipimpin oleh parti lain.

“Bukankah pejabat ketua UMNO bahagian masih penuh dengan orang? Bukankah pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri yang menang di bawah Barisan Nasional masih penuh dengan rakyat?

“Maksudnya rakyat itu, walaupun dia tak undi tapi dia akan kembali dan minta bantuan daripada UMNO bahagian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Jelajah Penerangan UMNO Malaysia di UMNO Bahagian Kuala Pilah di Dewan Orang Ramai Senaling, di sini.

Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim; Timbalan Ketua UMNO Bahagian merangkap Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan; Ketua Wanita UMNO Bahagian, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid; Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Suraya Yaacob dan kepimpinan bahagian.

Azalina yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dalam pada itu turut mengulas berkenaan siri jelajah penerangan ini yang diharapkan memberikan manfaat kepada gerak kerja penerangan bahagian.

Menurut beliau, kerangka baharu yang digarap ini terutama dalam penggunaan media sosial perlu dimanfaat sebaiknya dalam mendekati rakyat.

“Sebab jika hendak menang kena buat cara hendak menang kerana cara lama sudah tidak boleh lagi.

“Itu sebabnya harapan saya UMNO bahagian yang sudah buat program propaganda akan bersama dengan Penerangan UMNO supaya kita dapat kemaskini strategi, landskap komunikasi menggunakan sosial media,” ujar beliau.

Untuk rekod, Majlis Pelancaran Jelajah Penerangan UMNO ini telah berlangsung pada 14 Mei lalu dengan disempurnakan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Ibu Pejabat UMNO.

Ini diikuti oleh program jelajah sulung yang membuka tirainya di UMNO Bahagian Jerantut, disusuli Bahagian Tapah, Tampin, Putrajaya, Sabak Bernam, Rembau, Tanjung Karang, Lipis dan Kuala Krau.

Bukan itu sahaja, siri jelajah ini telah menyeberang Laut China Selatan dengan meneruskan gerak kerjanya di Sabah iaitu ke UMNO Bahagian Putatan dan Pensiangan pada 1 dan 2 Jun lalu. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit