PRK Sungai Bakap: Wakil Kerajaan Perpaduan Calon Terbaik Untuk Rakyat – Rashidi

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Calon wakil Kerajaan Perpaduan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap adalah yang terbaik dan mempunyai hubungan baik dengan masyarakat.

Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal, Rashidi Zinol berkata, para jentera UMNO/Barisan Nasional (BN) sudah mula digerakkan untuk memastikan DUN Sungai Bakap kembali ke dakapan Kerajaan Perpaduan.

“Calon yang terpilih ini adalah yang terbaik dan boleh diterima oleh masyarakat. Beliau merupakan anak jati Sungai Bakap, berpendidikan tinggi dan mempunyai hubungan baik dengan masyarakat.

“Untuk jentera ini kita dah mula bergerak termasuklah cawangan-cawangan dan kita buat kajian sikap. Pertama, kita akan memberikan tumpuan kepada ahli-ahli UMNO yang ada di Sungai Bakap. Kita ada 5,000 ahli UMNO di sini,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh berkata, penerangan perlu dilakukan oleh jentera kepada ahli bagi menjernihkan semula pemikiran ahli-ahli UMNO yang telah diracuni oleh Perikatan Nasional (PN).

“Kita mencari pengundi-pengundi putih kerana dalam Kerajaan Perpaduan hari ini ramai juga ahli-ahli UMNO yang diracuni oleh pihak PN mengatakan bahawa kita bersama dengan Dap dan sebagainya.

”Mungkin ada di kalangan ahli kita yang tidak pernah menerima maklumat yang sahih dan terkini tentang kebaikan bersama dengan Kerajaan Perpaduan yang sedang kita gerakkan sekarang ini.

“Kita juga akan gerakkan ‘team’ Penerangan UMNO Bahagian untuk turun ke bawah dan memberikan penerangan sebaiknya kepada ahli-ahli parti,” katanya.

Mengulas lanjut, turut memaklumkan bahawa jentera UMNO/BN di Sungai Bakap memberikan sokongan penuh kepada calon Kerajaan Perpaduan dan akan berusaha sebaiknya untuk mencapai kemenangan.

“Kita juga sedang bergerak untuk mencari ahli-ahli UMNO yang masih berada di Sungai Bakap bagi memastikan pengundi putih daripada kalangan ahli parti sedia ada sehingga selesai. Mungkin dalam tiga atau empat hari lagi selesai dan selepas tu kita akan bergerak kepada pengundi-pengundi yang bukan ahli parti.

“Setakat hari ini jentera memberi sokongan penuh kepada calon yang terpilih semalam. Insya-Allah kita cuba buat yang sebaik mungkin. Pemimpin-pemimpin bahagian akan memberikan bantuan sebaiknya.

“Seperti saya katakan tadi, jentera-jentera sudah mula digerakkan dan dijangka pusat-pusat daerah mengundi (PDM) akan dibuka pada minggu hadapan. Insya-Allah, kita akan usahakan untuk kemenangan,” katanya lagi.

Untuk rekod, bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin, 60, dari PKR diumum sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, pada 6 Julai ini.

Pengumuman dibuat Pengarah Pilihan Raya Perpaduan yang juga Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, pada majlis pengumuman calon Perpaduan di Simpang Ampat, pada Rabu.

Terdahulu media melaporkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang diadakan pada 6 Julai depan berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Dr Azmi Sharom berkata, penamaan calon pula ditetapkan pada 22 Jun.

Dengan itu, tempoh berkempen adalah selama 14 hari bermula penamaan calon sehingga jam 11.59 malam 5 Julai. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.