NGO Perlu Bincang Dengan Wisma Putra Sebelum Hantar Misi Ke Gaza

REMBAU, 14 Jun – Mana-mana pihak khususnya badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pasukan Perubatan Kecemasan (EMT) Mercy Malaysia diminta berunding terlebih dahulu dengan Wisma Putra sebelum menghantar sukarelawan untuk misi bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ia bagi menjamin tahap keselamatan mereka berikutan keadaan di negara berkenaan amat tidak menentu ketika ini sekali gus mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

“Jangan pandai-pandai ke sana, perlu berunding dengan kita, kita tengok bila keadaan sesuai atau macam mana nak masuk, sebab kita ada saluran dan bekerjasama termasuk dengan Jordan, Qatar dan Egypt…kalau apa-apa berlaku, kementerian luar juga akan dipertanggungjawabkan.

“Bukan kata tak boleh pergi bantu, banyak bantuan boleh di beri…jadi kita ikut secara bersistematik…keadaan di sana walaupun dikatakan zon selamat tetapi terus digempur, khemah pelarian dan konvoi bantuan pun dibom.

“Biar pasukan daripada Jordan dahulu (bantu), kerana mereka ada hubungan diplomatik dengan Israel, begitu juga Qatar dan Mesir, kalau ada apa-apa, pihak berkuasa mereka boleh ke sana bawa balik rakyatnya, kita tak ada,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada lebih 700 warga emas dan pelajar sekolah rendah di sini hari ini.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau itu berkata pihaknya sentiasa berhubung dengan kerajaan Jordan terhadap sebarang perkembangan di Semenanjung Gaza termasuk penghantaran bantuan kemanusiaan ke sana.

Beliau berkata rakyat Malaysia yang ingin membantu diminta terus menyalurkan bantuan kepada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang diuruskan Wisma Putra.

“Bantuan amat diperlukan, kadang-kadang ada yang bagi bantuan pakaian, kalau boleh beri wang ringgit, kita akan belikan, yang penting sekarang mereka perlukan bantuan peralatan dan perubatan, mereka juga perlukan khemah kerana rumah dan tempat tinggal sudah hancur,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata tiada lagi pasukan sukarelawan Malaysia yang ‘tersangkut’ di Gaza selepas enam ahli EMT Mercy Malaysia berjaya dibawa keluar dengan selamat bersama petugas antarabangsa yang lain daripada kawasan berkenaan baru-baru ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.