Jelajah Penerangan UMNO Satu Momentum, Beri Suntikan Semangat – Ismail

KUALA KRAU, 14 Jun – Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata siri jelajah yang digerakkan oleh Penerangan UMNO Malaysia turun ke peringkat Bahagian memberikan satu suntikan semangat kepada akar umbi.

Ujarnya, ahli UMNO di peringkat Cawangan dan Bahagian amat memerlukan penjelasan dan fakta sesuatu isu sama ada berkaitan hal ehwal parti mahupun isu semasa negara daripada pemimpin pusat.

“Sebenarnya apabila kita kalah dalam pilihan raya pada mulanya jentera kita memang rasa kecewa, lemah tetapi apabila kita ada suntikan semangat seperti ini, mereka mula semangat.

“Lihatkan kehadiran… apabila dengar sahaja Penerangan UMNO Malaysia nak datang ke kawasan kita, kehadiran melebihi had yang kita jemput. Sebenarnya jemputan tiga ratus (orang) tetapi hari ini yang datang empat ratus lebih, bermakna mereka sendiri hendak dengar apakah penjelasan tokoh kita daripada pusat,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau ditemui selepas program Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Kuala Krau di Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kassim di sini, baru-baru ini yang dihadiri lebih empat ratus ahli akar umbi.

Hadir sama Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai penceramah utama dan Ketua Penerangan UMNO Negeri Pahang Fadzli Mohamad Kamal merangkap Exco Kerajaan Negeri Pahang.

Justeru, beliau bersyukur kerana segala penjelasan yang diberikan oleh penceramah diterima baik oleh mereka yang hadir dan berharap pemimpin di akar umbi menyebarluaskan ke Cawangan masing-masing.

“Inilah yang kita hendak… input-input, fakta-fakta yang dijelaskan oleh tokoh-tokoh penceramah kita sama ada Datuk Seri Ahmad Maslan dan juga Fadzli daripada Exco Kerajaan Negeri Pahang.

“Saya harap momentum yang disuntikkan pada hari ini berterusan, tidak habis di dalam dewan sahaja tetapi kita akan terus mengatur strategi terutama apa yang disebut oleh Datuk Seri Ahmad Maslan seperti aktiviti, bersepadu, calon dan tentang program-program yang mesti kita lakukan setiap masa.

“Berjumpa dengan orang ramai menjelaskan isu seperti kenapa kita bersama Pakatan Harapan… kenapa perlu pertahankan parti UMNO kita demi kelangsungan Melayu dan Islam,” ujarnya lagi.

Bahagian Kuala Krau menjadi lokasi ketiga bagi Jelajah Penerangan UMNO di Negeri Pahang, terdahulu di Jerantut dan Lipis. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit