Jelajah Penerangan UMNO Ke Kuala Pilah, Teruskan Gerak Kerja Rungkai Isu Semasa
KUALA PILAH, 14 Jun – Siri Jelajah Penerangan UMNO Malaysia meneruskan gerak kerjanya hari ini ke UMNO Bahagian Kuala Pilah.
Bertempat di Dewan Orang Ramai Senaling di sini, Ketua Penerangan UMNO merangkap Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said mengambil tempat bagi mengupas berkaitan isu-isu semasa kepada khalayak.
Terdahulu, program tersebut dilaksana tertib dengan dimulakan nyanyian lagu UMNO, ‘Bersatu, Bersetia Berkhidmat’ diikuti bacaan doa dan seterusnya ucapan oleh Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim yang juga Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan.
Menyusul kemudiannya, Azalina mengambil tempat yang berucap dengan merungkai pelbagai isu semasa selain menggarap hala tuju bagi memastikan Penerangan UMNO di semua peringkat bergerak selari khususnya ke arah pengukuhan parti.
Menerusi program terbabit, penerangan berkaitan isu-isu semasa diaplikasi sebagai manfaat kepada ahli-ahli akar umbi agar dapat disampaikan informasi tepat di samping hala tuju UMNO untuk masa hadapan kepada semua anggota parti.
Selain itu, anggota penerangan parti juga diangkat menjadi perisai bagi semua ahli dan pendukung parti untuk menangkis pelbagai dakwaan buruk, tohmahan negatif dan fitnah yang dilemparkan pihak lawan.
Untuk rekod, Majlis Pelancaran Jelajah Penerangan UMNO ini telah berlangsung pada 14 Mei lalu dengan disempurnakan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Ibu Pejabat UMNO.
Ini diikuti oleh program jelajah sulung yang membuka tirainya di UMNO Bahagian Jerantut, disusuli Bahagian Tapah, Tampin, Putrajaya, Sabak Bernam, Rembau, Tanjung Karang, Lipis dan Kuala Krau.
Bukan itu sahaja, siri jelajah ini telah menyeberang Laut China Selatan dengan meneruskan gerak kerjanya di Sabah iaitu ke UMNO Bahagian Putatan dan Pensiangan pada 1 dan 2 Jun lalu.
Jelajah Penerangan UMNO Malaysia ini adalah hasil idea yang dicetuskan oleh Ketua Penerangan UMNO, Azalina dan mendapat sokongan dari kepimpinan parti serta anggota di akar umbi. – UMNO ONLINE