PRK Sungai Bakap: Peluang Rakyat Bersama Kerajaan Perpaduan – Sulaiman

TANJONG KARANG, 13 Jun – Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak menasihati rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap agar memilih calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) nanti supaya dapat selari dengan kerajaan.

Menurutnya, sejumlah besar pemimpin parti pembangkang yang telah menang dan dipilih pada pilihan raya mempunyai kewajipan dan tanggungjawab membantu rakyat tetapi mereka tidak ada sifat tersebut.

“Rakyat Sungai Bakap akan jadi mangsa sekiranya memilih pihak pembangkang. Wakil rakyat ada tapi tidak memainkan peranan dan membantu. Hari ini rakyat perlu bermacam-macam keperluan dan rakyat boleh memikirkan siapa yang terbaik menjadi wakil rakyat mereka.

“Sekiranya kerajaan negeri Pulau Pinang memberi penjelasan tentang hal-hal rakyat sudah pasti mereka akan menerimanya. Walaupun kerajaan negeri diperintah oleh Kerajaan Perpaduan sekali pun jikalau DUN Sungai Bakap ini tewas maka yang rugi rakyat di kawasan tersebut walaupun kerajaan negeri tetap sama.

“Saya percaya pada PRK Sungai Bakap akan dilakukan strategi yang lebih baik serta boleh diterima pengundi di sana. Sudah pasti pihak pembangkang akan memainkan sentimen agama serta isu-isu lapuk sebagai bahan kempen mereka,” katanya.

Jelas Sulaiman, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Pas telah memenangi sebanyak 1,563 undi tapi tidak mustahil undi tersebut akan beralih arah dan memihak pada calon Kerajaan Perpaduan.

“Kemenangan Pas di DUN Sungai Bakap sebanyak 1,563 undi bukannya terlampau besar. Dengan strategi Kerajaan Perpaduan ia dapat dipusingkan balik dan beri kemenangan kepada wakil calon Kerajaan Perpaduan.

“Jentera Persekutuan dan negeri-negeri sudah pasti akan turun membantu pada PRK Sungai Bakap dan insya Allah akan menang. Walaupun calon bukannya dari UMNO/BN namun sudah ada kerjasama yang baik dan mengakui ini adalah calon Kerajaan Perpaduan.”

Pada masa yang sama kata Sulaiman lagi, sekiranya kemenangan dapat dimenangi calon Kerajaan Perpaduan sudah pasti pelabur asing akan terus melabur kerana melihat kestabilan politik dalam negeri dan negara.

“Kita lihat banyak pelabur asing sudah mula masuk melabur ke negara ini dan nampak ada hasil perkembangannya. Ia sebagai petanda aras kejayaan Kerajaan Perpaduan untuk menarik keyakinan pelabur asing.

“Jika pelabur melihat keadaan politik negara tidak stabil, ia akan menjadikan ekonomi negara semakin buruk. Maka segala usaha kerajaan dalam menarik minat pelabur asing ke Malaysia akan menjadi sia-sia,” jelas beliau.

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas kerana mengalami keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit