Pemimpin UMNO Main Peranan Besar Dalam Kerajaan Perpaduan, Salurkan Suara Rakyat – Armand Azha

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr Armand Azha Abu Hanifah berpandangan pemimpin-pemimpin UMNO dalam Kerajaan Perpaduan memainkan peranan yang besar dalam mewujudkan ‘check and balance’ bagi memastikan rintihan suara dan aspirasi rakyat benar-benar terbela.

Beliau berkata, UMNO kini berada dalam Kerajaan Perpaduan mampu memberi manfaat hingga ke peringkat akar umbi dan sentiasa menghormati sistem demokrasi negara.

“UMNO sentiasa menghormati sistem demokrasi rakyat dan memainkan peranan di semua sudut dalam Kerajaan Perpaduan terutama pimpinan di peringkat akar umbi bagi memastikan ‘check and balance’ berlaku dan suara rakyat dapat disampaikan kepada peringkat atasan.

“Kita harus menyokong Kerajaan Perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 dan ia adalah mandat dari sistem demokrasi ataupun proses pilihan raya. UMNO sentiasa  menjadi sebahagian dari semak dan imbang kepada kerajaan untuk pastikan pemantapan Kerajaan Perpaduan.

“Apa saja keputusan kepimpinan parti sudah tentu diputuskan secara muafakat dan pada masa sama menjadi ‘check and balance’ untuk suara rakyat agar kepimpinan mendengar. Jangan kita gundah gulana sebab perlu jadi suara rakyat untuk disampaikan kepada kepimpinan negara. Sebab itu saya sentiasa konsisten membawa suara rakyat ke Dewan Negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Armand yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang menjelaskan UMNO memainkan peranan penting untuk menjadi sebahagian Kerajaan Perpaduan kerana parti ini sentiasa menjunjung perintah Yang di Pertuan Agong (YDPA).

“Kerajaan Perpaduan ditubuhkan kerana UMNO menghormati titah YDPA; kerana pada masa itu tidak ada mana-mana parti politik yang mempunyai majoriti untuk tubuhkan kerajaan. Sebab itu UMNO menjadi sebahagian Kerajaan Perpaduan sehingga hari ini.

“Sebab itulah kita tidak berminat tentang hendak tebuk atap, runtuhkan kerajaan dan sebagainya. Kita harus ikut proses demokrasi rakyat melalui sistem pilihan raya,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit