Kerajaan Perpaduan Umum Calon PRK DUN Sungai Bakap Hari Ini

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap hari ini.

Ketua Sekretariat, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata demikian selepas Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia BN-PH yang melibatkan pimpinan tertinggi kedua-dua parti gabungan tersebut yang berlangsung semalam di Seri Perdana Putrajaya.

“Calon yang akan mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK berkenaan telahpun dimuktamadkan dan akan diumumkan secara rasmi pada 12 Jun 2024, pukul 9 malam.

“Bagi maksud penyelarasan dan penyeragaman gerak kerja jentera PRK, mesyuarat memutuskan untuk melantik Rafizi Ramli dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Jentera Pilihan Raya Kerajaan Perpaduan.

“Manakala Pengerusi Operasi Bersama PRK DUN Sungai Bakap mewakili Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang akan diketuai oleh Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Datuk Musa Sheikh Fadzir,” katanya.

Terdahulu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal ditetapkan pada 2 Julai.

PRK Sungai Bakap bakal diadakan susulan kematian penyandang, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit