BN Parti Terbaik, Pilihan Raya Bukan Tiket Untuk Mencuba-cuba Kerajaan – Busiau

PENSIANGAN, 12 Jun – Ketua UMNO Bahagian Pensiangan Busiau Ampirak berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan menjelang tidak lama lagi bukan menjadi tiket untuk bertindak mencuba-cuba kerajaan kerana pada akhirnya rakyat akan menjadi mangsa.

Katanya, PRN sebelum ini telah memperlihatkan parti-parti baharu yang menjadi kerajaan negeri tidak mampu melaksanakan tugas dengan baik sebagaimana sebelumnya di bawah Barisan Nasional (BN).

“Sering berlaku bila PRN datang, kadang-kadang rakyat di Pensiangan ini rasa mencuba bagaimana parti baru, kerajaan baru… sudah dibuktikan kerajaan-kerajaan yang baru ini tidak mampu bawa ke arah yang lebih baik tetapi mendatangkan mudarat masa depan rakyat.

“Harapan saya kepada semua rakyat di Pensiangan ini jangan lagi fikir cuba-cuba tetapi beri tumpuan kepada parti yang cukup menjaga kebajikan rakyat.

“Saya menyeru rakyat dapat memberi tumpuan kepada parti yang ada akar dan tunjang terutama sekali UMNO dan BN. Inilah parti yang mempunyai sejarah sendiri, memerdekakan negara dan membuktikan UMNO ini bukan sekadar satu wadah tetapi ia ada satu perjuangan yang memerdekakan Malaysia. Berbanding parti-parti lain tiada sejarah,” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui di Kampung Empat A, Nabawan, di sini baru-baru ini.

Ulas Busiau lagi, rakyat ditemuinya rata-rata meluahkan kekecewaan terhadap kerajaan negeri yang gagal menjaga kebajikan rakyat.

“Jadi sebab itu mereka akan minta supaya UMNO/BN ini akan jadi mewakili suara rakyat.

“Hari ini saya minta supaya pucuk pimpinan berilah peluang kepada UMNO membawa suara rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Untuk rekod, tiga DUN di bawah Parlimen Pensiangan iaitu Sook, Tulid dan Nabawan dikuasai Gagasan Rakyat Sabah (GRS) manakala kerusi Parlimen di bawah BN iaitu Datuk Arthur Kurup daripada Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) sebagai wakilnya.

Jelas Busiau, matlamat dan sasaran beliau adalah mahu membela nasib rakyat yang kini diabaikan oleh kerajaan negeri.

“Keutamaan dan sasaran saya adalah bawa keluar rakyat daripada belenggu kemiskinan terutama sekali yang duduk di pinggir-pinggir sungai… di atas bukit.

“Sebab mereka ini mempunyai tanah yang cukup luas, boleh dibangunkan secara berkelompok tetapi cabarannya tidak dapat mengeluarkan hasil kerana perhubungan tiada.

“…mereka berharap kepada kerajaan yang baru tetapi kerajaan tidak dapat memenuhi keperluan yang diidamkan oleh rakyat,” ujarnya.

Oleh kerana itu katanya, rakyat di Nabawan khususnya mahu BN kembali menjadi wakil suara mereka.

“Sekarang ini mereka mahu BN mewakili suara DUN Nabawan ini kerana sudah terbukti BN selama 60 tahun bawa pembangunan di kawasan terutama sekali jalan di Salong yang mana dalam pembinaan diturap aspal.

“Ini bantuan daripada kerajaan BN bukan kerajaan yang baru… ia dirancang pada Rancangan Malaysia Keduabelas (RMK12). Rakyat nampak bahawa BN yang betul-betul berjiwa rakyat,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit