Pemuda UMNO Ikrar Konsisten Bawa Suara Perubahan Demi Masa Depan Agama, Bangsa

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berikrar untuk terus komited membawa parti ini ke arah perubahan bagi memastikan agenda perjuangan kepada agama, bangsa dan negara dapat dilaksanakan seperti mana tujuan asal penubuhan parti ini.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata perubahan tersebut penting untuk dilaksanakan bagi memastikan parti keramat ini terus kekal relevan dalam mendepani arus dinamika politik negara.

“Perubahan demi perubahan. Walaupun sedikit demi sedikit tetapi pemuda tetap konsisten untuk membawa suara perubahan demi untuk masa depan agama bangsa yang lebih baik. No fear, no surrender! Pemuda cara kita!” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Hantaran tersebut dilakukan Akmal sebagai respon kepada keratan laporan berita FMT yang memetik kenyataan Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub yang berkata parti ini harus menjadi wadah untuk generasi muda yang mahu perubahan, jika mahu kekal relevan dalam arus politik semasa.

“UMNO mesti mengikut cita rasa mereka yang mahukan perubahan. UMNO mesti berani berubah walaupun sukar untuk diterima oleh segelintir mereka yang merasakan merekalah ‘warlord’ yang boleh menentukan segala-galanya dalam parti,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Mustapha turut menyokong cadangan Naib Presiden , Datuk Seri Johari Abdul Ghani agar pemimpin muda dinamakan sebagai calon wakil rakyat sebelum musim Pilihan Raya Umum, berdasarkan kepada pengalaman yang dilalui UMNO sebelum ini. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit