Kekalkan Keindukan UMNO, Kesepaduan Formula Kemenangan – Reezal Merican

KUALA LIPIS, 10 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyeru semua ahli dan akar umbi parti di Bahagian Lipis agar mengekalkan keindukan UMNO di kawasan tersebut.

Berucap di Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Lipis pada Ahad, Reezal Merican berkata kemenangan UMNO/Barisan Nasional (BN) di kawasan Parlimen dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Padang Tengku dan Benta mesti dipertahankan manakala merampas kembali DUN Cheka.


“Saya lihat keutuhan, perpaduan, kesepaduan yang ada di Lipis ini formula utama yang menjadi kekuatan kepada UMNO di bumi Lipis ini di bawah UMNO dan Barisan Nasional,” katanya.

Melihat kepada contoh tauladan dan semangat yang ada pada UMNO Bahagian Lipis, Reezal Merican berkata beliau bangkit memenangi DUN Bertam pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos tahun lalu dan bertekad merampas kembali Parlimen Kepala Batas pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Mana mungkin saya nak serahkan bumi Bertam yang menjadi nadi Kepala Batas. Dan Insya-Allah tekad saya tidak terhenti di situ, saya berikrar dan berjanji PRU ke-16, saya akan tebus semula Kepala Batas kembali ke pangkuan UMNO.

“Kita tidak boleh hanya dengan semangat semata-mata. Kita dihidangkan dengan perkara baru, kecerdasan buatan (AI), big data analytic, sistem secara kecerdasannya boleh kita guna untuk dapat menilai dan akhirnya memberikan sokongan,” katanya yang juga akui perkara terpenting adalah terletak kepada sifat manusiawi itu sendiri.

Mengulas mengenai fitnah yang berleluasa zaman kini terutama di kalangan orang Islam, Reezal Merican berkata ia bukan hanya ada pada masa sekarang tetapi sejak zaman awal Islam lagi apabila wujud individu yang mengadu domba, menjadi penghasut dan pemecah-belah masyarakat.

Seterusnya tambah Reezal Merican, semua ahli UMNO diibaratkan sebagai satu pasukan atau jemaah yang perlu menunjukkan solidariti dalam sesuatu perkara dasar yang telah diputuskan oleh parti.

“Biar kita berada dalam keberadaan bersama sebagaimana dalam solat berjemaah adanya imam dan makmum. Apabila imam ada kekhilafan makmum akan sebut SubhanAllah maksimum sebanyak tiga kali, manakala kali keempat baru diizinkan mufaraqah… itupun pada niat sehingga selesai solat. Sebab apa? Yang penting Jemaah jangan pecah.

“Kita akan kuat jika jemaah kita kuat dan besar semula. Parti kita ini adalah parti yang lahir dari keringat perjuangan yang cukup mulia. Parti kita datang kerana agama, definisi Melayu dalam Perlembagaan negara adalah Melayu dan beragama Islam,” katanya.

Dalam ucapannya, Reezal Merican juga berkata kehilangan penguasaan majoriti dua pertiga parti dalam PRU bukan yang pertama terjadi ketika zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008, tetapi yang pertama adalah ketika zaman Perikatan pada PRU 1969.

“Siapa bangkit, bina jadikan UMNO induk di dalam kerajaan? Allahyarham Tun Razak… kebijakan… siapa yang menjadikan negara ini membangun dan luar biasa? Anaknya Datuk Seri Najib,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit