Perjuangan BN Kelantan Tidak Pernah Jemu, Terus Berjuang Demi Kepentingan Rakyat – Ahmad Jazlan
KUALA LUMPUR, 9 Jun – Konvensyen Barisan Nasional (BN) Negeri Kelantan yang diadakan pada Sabtu membuktikan parti tersebut tidak pernah jemu memperjuangkan nasib rakyat negeri berkenaan.
Pengerusi BN Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob menerusi perkongsian di Facebooknya melahirkan rasa syukur atas kejayaan konvensyen berkenaan ya g dihadiri seluruh pimpinan dan pendokong parti terbabit.
Menurut beliau konvensyen tersebut diadakan sempena sambutan 50 tahun perjuangan BN dan segala pandangan diambil kira dalam usaha memperkukuhkan lagi perjalanan selepas ini demi kepentingan bersama.
“Alhamdulillah konvensyen hari ini telah selesai dengan jayanya. Terima kasih diucapkan kepada Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Bendahari BN Pusat yang juga Naib Presiden UMNO atas kesudian menyempurnakan konvensyen.
“BN Negeri Kelantan sudah pastinya tidak akan pernah berputus asa dalam memperjuangkan nasib dan kebajikan rakyat di negeri yang bertuah ini,” katanya.
Kata beliau lagi segala pandangan dan segala lontaran yang diutarakan pada konvensyen terawbut akan diambil perhatian serta tindakan sewajarnya dalam usaha memacu kecemerlangan perjuangan BN.
“Idea serta pandangan yang disampaikan oleh setiap jurucakap sudah pasti akan diambil kira dalam memastikan kejayaan BN pada pilihanraya yang akan datang.
“Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada seluruh ahli jawatankuasa yang berusaha keras menjayakan konvensyen ini,” tambahnya.- UMNO Online