Jelajah Penerangan UMNO: Kaedah Konvensional Tetap Relevan – Busiau

NABAWAN, 7 Jun – Penggunaan medium media sosial yang meluas pada ketika ini tidak bermakna kaedah konvensional dalam menerangkan sesuatu isu semasa tidak lagi praktikal, ujar Ketua UMNO Bahagian Pensiangan Busiau Ampirak.

Oleh kerana itu katanya, UMNO Bahagian mengambil peluang mengadakan siri Jelajah Penerangan UMNO yang tetap relevan terutama di kawasan pedalaman seperti di Pensiangan ini yang bersempadanan dengan Kalimantan Utara, Indonesia.

“Jelajah Penerangan UMNO ini amat baik kerana sebelum ini tidak pernah diadakan seperti ini. Apabila ia diadakan terutama sekali di kawasan tumpuan dan menampakkan suntikan semangat kepada penyokong terutama di akar umbi sebab di kawasan Pensiangan dan Nabawan ini jauh pedalaman.

“Jadi suasana politik ia tidak sama dengan bandar. Sebab itu saya katakan selain menggunakan media sosial ini, sebahagian kawasan di Pensiangan ini terutama Nabawan kita boleh menggunakan media sosial seperti TikTok.

“…tetapi apabila di kawasan di pedalaman sempadan Indonesia dan juga di pekan Pensiangan sukar liputan internet, kita tidak 100 peratus untuk yakin menyampaikan semua mesej daripada kerajaan,” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui baru-baru ini pada program tersebut yang dihadiri hampir 200 ahli dan rakyat tempatan.

Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Pensiangan menampilkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia Datuk Lokman Noor Adam sebagai penceramah utama.

Dalam program interaktif tersebut, banyak persoalan yang ditimbulkan oleh ahli akar umbi di kawasan tersebut berjaya dirungkai dan diberikan penjelasan yang sebaiknya oleh Lokman.

Tambah Busiau, program sebegini wajar disebarluaskan ke kawasan pedalaman supaya rakyat dapat mendapat input dan maklumat yang tepat mengenai sesuatu isu.

Menyentuh mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Busiau berkata pihaknya sudah bersiap sedia berhadapan dengannya.

“Sememangnya UMNO Pensiangan sudah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan berlaku sama ada tahun ini atau tahun hadapan.

“Kita sudah susun atur dari segi jentera, JR, Puteri dan Pemuda. Susun secara rapi dan itulah harapan saya dengan semua rakan-rakan jentera untuk membawa mesej ini yang telah disampaikan oleh beberapa penceramah yang hadir yang mana dihadiri sendiri oleh Datuk Lokman Adam yang begitu lantang, faham dengan politik semasa.

“Saya berasa bangga apabila dia turun untuk menerangkan apa hala tuju kita, apa sebab kita mahu jadi kerajaan (negeri) dominan,” katanya.

Jelasnya lagi, sejarah telah membuktikan Barisan Nasional (BN) ketika mentadbir Negeri Sabah telah berjaya membangunkan infrastuktur termasuk di kawasan pedalaman dan juga sentiasa menjaga kebajikan rakyat berbanding kerajaan negeri ketika ini.

“Sebab dalam sejarah 60 tahun, BN mentadbir kerajaan Malaysia terutama di Sabah kami merasa bangga sebab apabila di bawah pentadbiran BN pada ketika itu banyak bantuan-bantuan terutama sekali jalan raya, elektrik, air dan sekolah dapat di pedalaman.

“Di kawasan Nabawan ini kami rasa bangga kerana bantuan daripada Kerajaan BN tetapi apabila bertukar-tukar kerajaan, Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri… sampai hari ini apa pun kita tidak nampak tanda bagaimana mereka bantu rakyat.

“Tapi UMNO/BN lebih menjaga kebajikan rakyat. Jadi sebab itu UMNO akan terus bangkit di kawasan Pensiangan terutama sekali di Nabawan, Tulid dan Sook. UMNO tidak akan mati… akan terus bangkit untuk membawa rakyat-rakyat yang miskin keluar daripada kemiskinan,” tegasnya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit