Penerangan UMNO Sabah Gerakkan Wadah Komunikasi Progresif, Tolak Persepsi Negatif – Samasuddin
KOTA KINABALU, 5 Mei – Timbalan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Samasuddin Yusop menekankan bahawa asas penerangan menyampaikan maklumat kepada khalayak adalah dengan memahami bahawa siapa yang menguasai penerangan maka akan dapat menguasai rakyat.
Katanya yang juga Pengerusi Majlis Penerangan dan Media Baharu UMNO Sabah, suasana hari ini berbeza dengan suatu ketika lalu kerana mahu tidak mahu bahawa politik semasa perlu memenuhi citarasa atau kehendak pengundi lantas gerak kerja juga perlu lebih progresif.
“Kerana itu Penerangan UMNO Sabah amat sedar bahawa jentera penerangan mesti menjadikan media sosial sebagai alat untuk menyalurkan maklumat. Ada grafik, ada visual, ada tarikan untuk khalayak mengikuti perkembangan semasa dengan lebih terkini.
“Hal ini juga telah dinyatakan oleh Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang sedar bahawa peri pentingnya komunikasi melalui media baharu. Ini adalah antara kejayaan mana-mana parti politik dalam masa kini iaitu banyak menggunakan media untuk menyalurkan apa-apa info,” katanya kepada UMNO Online.
Dalam hal ini, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kalabakan mengakui bahawa menguasai persepsi melalui media sosial juga amat penting.
“Dalam konteks Sabah sering mengaitkan orang muda dengan media baharu sedangkan orang-orang lama juga sering mengikuti media sosial kerana ia bersifat interaktif dan lebih mudah difahami.
“Ambil contoh bagaimana Presiden Indonesia, Probowo menang baru-baru ini kerana memenuhi selera kehendak pengguna media sosial.
“Aplikasi media sosial menjadi pilihan kepada rakyat dan ini menunjukkan kita mesti melaksanakan tugas iaitu apa juga misi, gerakan yang jika gagal disalurkan dalam saluran media baharu maka akan tewas dalam pilihan raya nanti.”
Jelas Samasuddin, dalam konteks di Negeri Sabah khususnya golongan usia 16-30 tahun kebanyakannya tidak mengikuti berita politik semasa secara langsung sebaliknya hanya mengikut trend dalam media masa semasa pilihan raya.
“Kita sebagai orang UMNO perlu memberikan harapan-harapan kepada rakyat melalui saluran media khususnya media baharu.
“Kalau ini kita tidak penuhi maka tidak perlu bercerita soal gerak kerja untuk menang pilihan raya kerana penguasaan dalam komunikasi media sosial adalah amat penting khususnya dalam musim pilihan raya.
“Justeru, perkukuhkan gerak kerja melalui media sosial tanpa meninggalkan yang lama malah kita optimis UMNO Sabah akan dapat terus memenangi hati rakyat dengan menggunakan aplikasi alternatif media baharu ini,” katanya lagi. – UMNO Online