Pensiangan Lokasi Kedua Jelajah Penerangan UMNO Di Sabah

PENSIANGAN, 2 Jun – Bahagian Pensiangan merupakan lokasi kedua Jelajah Penerangan UMNO bagi Negeri Sabah setelah semalam berlangsung untuk Bahagian Putatan.

Ketua UMNO Bahagian Busiau Ampirak dalam ucapan perasmiannya berkata, inisiatif yang diusahakan oleh Penerangan pusat di bawah Ketuanya Datuk Seri Azalina Othman Said merupakan satu langkah yang cukup bermakna bagi mereka yang berada di peringkat akar umbi.

Ini kerana katanya, masyarakat di akar umbi khususnya kawasan pedalaman seperti di Pensiangan amat memerlukan pencerahan isu-isu semasa dan berbangkit diadakan secara bersemuka atas beberapa kekangan dan kesulitan.

Ujarnya lagi, ia juga sebagai input kepada jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Pensiangan ini yang diadakan di Kampung Empat A, Nabawan, di sini menampilkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia Datuk Lokman Noor Adam sebagai penceramah utama.

Berucap di hadapan kira-kira hampir 200 ahli akar umbi, Lokman memberikan pencerahan dan penjelasan berkaitan isu-isu semasa sama ada berkaitan parti mahupun politik negara.

Turut diadakan sesi soal jawab dan mereka amat berpuas hati dengan penerangan yang diberikan.

Semalam, lokasi pertama Jelajah Penerangan UMNO bagi Negeri Sabah diadakan di Dewan Utama, Bangunan UMNO Negeri Sabah di Kota Kinabalu untuk Bahagian Putatan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit