Jangan Dipadam Sejarah, Jasa BN Memakmurkan Negara – Ahmad Maslan

KOTA KINABALU, 2 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berpesan kepada semua pihak agar jangan dipadam sejarah dan jasa Barisan Nasional (BN) yang kini berusia 50 tahun dalam membangun dan memakmurkan negara.

Ujar Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor itu, rakyat dapat melihat bukti kejayaan-kejayaan BN selama 45 tahun menjadi tunggak kerajaan dan kini sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

“1 haribulan Jun adalah tarikh keramat untuk BN. Pada tahun ini kita merayakan 50 tahun ataupun jubli emas, BN yang telah begitu banyak berjasa kepada negara kita selama 45 tahun kita menjadi kerajaan daripada 50 tahun (usia) BN itu.

“Sekarang ini menjadi sebahagian daripada kerajaan juga walaupun bukan tunggaknya, tetapi selama 45 tahun kita tunggaknya,” katanya dalam ucapan ringkas sempena ulang tahun BN ke-50 yang jatuh pada 1 Jun tahun ini.

BN dibentuk oleh Tun Abdul Razak Hussein pada 1 Jun 1974 ketika menjadi Perdana Menteri serta Presiden UMNO pada tahun sama.

Tambah Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya dan Ahli Parlimen Pontian, jasa BN juga sangat besar dalam melahirkan pemimpin negara.

“Jasa parti BN dan pemimpin BN ada di merata tempat. Antara contoh adalah semua Perdana Menteri daripada Perdana Menteri Kedua yang mewujudkan BN sampailah Perdana Menteri Sepuluh (PMX).

“Semuanya itu sama ada mereka itu bekas pemimpin UMNO/BN atau mereka pemimpin UMNO/BN. PMX misalnya bekas Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin juga bekas Timbalan Pengerusi BN, Tun Mahathir walaupun meninggalkan UMNO sebelum itu lama menjadi Pengerusi BN.

“Jadi mereka sebagai pimpinan bersama kabinetnya yang majoritinya adalah BN sebelum 2018 telah memberikan jasa yang begitu banyak untuk Pembangunan rakyat dan negara daripada Perlis sampai ke Sabah. Dulu BN menguasai Sarawak, Sabah… sekarang ini telah bertukar dinamika politiknya, walaupun demikian jangan dipadam sejarah dan jasa BN selama 50 tahun di negara kita,” katanya.

Seterusnya, Ahmad berharap BN akan kembali teguh di masa-masa akan datang kerana telah terbukti parti pernah menjadi pemerintah negara yang baik.

“Harapan saya selepas ini dengan sebuah pantun… hujan barai-barai tanaman makin jadi, mari ramai-ramai Barisan kita undi. Itu harapan saya supaya kembali teguh BN.

“Memang ada jatuh bangun dalam perjalanan politik, tetapi yang jatuh boleh bangkit dan bangun kembali. Itu harapan masa depan kerana kita telah terbukti menjadi pemerintah yang baik,” ujarnya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit