UMNO Perlu Berevolusi Untuk Kekal Relevan – Tok Mat

SEREMBAN, 31 Mei – UMNO Perlu berevolusi untuk terus kekal relevan dan berada dalam arus perdana politik masa kini, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau berkata, perubahan perlu dilakukan dengan segera agar parti tidak luput ditelan zaman apatah lagi suasana geopolitik yang semakin mencabar.

“Apa yang kita perlu lakukan dalam UMNO untuk memastikan kita relevan dalam politik tanah air semasa… kita jangan sampai nanti ke tahap kita tidak relevan lagi. Itu merbahaya.

“Jadi macam mana cara untuk kita menjadi relevan ataupun sebahagian daripada masa sekarang? Kita tidak mahu dilihat nanti sebagai satu organisasi dinasour. Organisasi yang telah pun luput.

“Ini perlu dan mesti sentiasa kita lakukan dan untuk kita menjadi sebuah organisasi ataupun produk supaya relevan pada masa kini dengan geopolitik yang begitu berombak, perubahan teknologi begitu deras melanda persisiran pantai kita, maka ini satu tekanan kepada sebuah organisasi yang lama macam UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Program Jelajah Penerangan UMNO Malaysia, di sini  Jumaat.

Menurutnya, untuk melakukan evolusi terhadap parti, ia memerlukan pemikiran yang tajam dan perlu dilaksanakan dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuklah sejarahnya dalam memerdekakan negara.

“Kita lama dah… kita parti yang menuntut kemerdekaan. Kita UMNO dulu ditubuhkan pada tahun 1946. Jadi suatu perkara yang sepatutnya kita semua ‘embrace’ iaitu memeluk suatu tahap di mana fikiran kita bagaimana cara untuk kita terus berada dalam arus perdana semasa.

“Ini memerlukan suatu pemikiran yang tajam, perlu dilaksanakan dengan mengambil kira pelbagai perkara termasuk sejarahnya, perkara yang kita bakal dan sedang hadapi.

“Makanya kita organisasi UMNO ini perlu berevolusi. Kita tidak boleh statik. Suatu organisasi yang statik, jumud dengan pemikiran lama nanti akan dilanda oleh arus badai permodenan atau teknologi baharu. Cara budak-budak sekarang berfikir macam-macam,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, tambah beliau  para pemimpin dah ahli parti perlu sentiasa menjunjung agenda untuk meyakinkan masyarakat bahawa tidak ada parti lain yang sentiasa bersama rakyat ketika senang mahupun susah.

“Jadi macam mana kita perlu berevolusi? Sikap kita, cara ‘approach’ kita perlu kita buat. Dulu pernah kita sebut untuk meremajakan parti. Meremajakan parti ini bukan berasas semata-mata kepada umur.

“Meremajakan parti ia merentasi cara berfikir, menjalankan kerja kita, menyesuaikan diri dengan keadaan sekitar dan juga memenangi hati pengundi. Sebab kita menubuhkan parti politik dengan tujuan asas untuk menubuhkan kerajaan.

“Jangan lupa kita meneruskan agenda untuk meyakinkan orang bahawa tidak ada parti lain… walaupun kita kalah dan tidak berada dalam kerajaan selepas 2018. Kita tidak mempunyai apa-apa tetapi orang masih jumpa kita dan memerlukan kita,” katanya lagi.

Mengulas lebih lanjut, beliau turut mengakui bahawa UMNO merupakan sebuah parti yang sentiasa dikelilingi oleh isu dan ia perlu diuruskan dengan sebaiknya.

“Kita mesti dinamik dalam apa yang kita lakukan. Untuk menang pilihan raya dan menubuhkan kerajaan bukan perkara mudah dan apatah lagi banyak keputusan pilihan raya dipengaruhi oleh isu.

“Kita sentiasa dikelilingi oleh isu. Satu isu positif dan satu lagi negatif. Maka isu-isu positif itu guna pakai. Kita sentiasa membantu rakyat. Inilah partinya yang sentiasa tidak kenal erti penat untuk membantu rakyat dan sentiasa berada dalam kalangan rakyat.

“Tetapi isu bukan semuanya positif. Banyak isu negatif terutamanya sekarang. Jadi, bagaimana cara kita mengolah isu, menepis dan mematahkan serta guna pakai sesuatu isu,” katanya lagi.

Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, Setiausaha Politik Kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Suraya Yaakob, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Datuk Seri Dr Awaludin Said, Naib Ketua UMNO Bahagian Rembau, Datuk Zaifulbahri Idris dan barisan kepimpinan empat peringkat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit