Tidak Ada Parti Lain Mampu Atasi Trek Rekod UMNO – Hang Tuah

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Tiada parti lain yang mampu untuk mengatasi rekod yang ada pada UMNO baik dari segi pentadbiran mahupun melahirkan pelapis kepimpinan, kata Ketua Penerangan UMNO Negeri Perak, Datuk Hang Tuah Din.

Menurutnya, meskipun Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) telah diberi peluang oleh rakyat untuk mentadbir secara dominan, mereka masih belum mampu untuk menggantikan parti keramat melayu ini.

“Bukan satu parti, ada beberapa parti yang merasakan bahawa mereka boleh menggantikan UMNO. Tetapi dari segi yang kita lihat sebelum ini, kita pun kalah dalam pilihan raya. Ini tidak boleh dinafikan.

“PN pernah menjadi kerajaan, PH pun pernah menjadi kerajaan… dan hari ini kita bersama dengan PH. Kalau dilihat dari segi pentadbirannya, baik dari segi menteri, timbalan menteri dan sebagainya, mereka ini tidak boleh mengatasi kepimpinan UMNO. Kita tidak boleh nafikan benda ini sebab ini fakta.

“Sebab UMNO ini telah 78 tahun kita berada di Malaysia dan kita dilatih. UMNO ini melatih ahli-ahli dan pemimpin-pemimpinnya menjadi pentadbir. Jadi oleh keadaan itu, apabila mereka ini diberi tanggungjawab untuk mentadbir, tidak ada masalah dengan mereka.” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, ahli dan akar umbi UMNO telah dilatih oleh para pemimpin mengikut proses dan ia mampu untuk mempersiapkan mereka menjadi pemimpin yang lebih baik.

“Akar umbi UMNO ini mereka bermula daripada ketua cawangan, kemudian jadi ketua kampung, ahli majlis, exco, dan kemudian jadi menteri atau timbalan menteri. Jadi mereka telah ada akarnya dan oleh kerana itu agak mudah untuk pemimpin-pemimpin UMNO ini menjadi pemimpin negara.

“Sebab mereka dah melalui semua -proses ini. Manakala parti-parti lain. Mereka ini dulu pembangkang, ada yang sampai sekarang menjadi pembangkang lagi. Jadi mereka tidak dilatih untuk perkara ini sebenarnya… yang dilatih mereka ini adalah untuk membangkang.

“Oleh sebab itu, saya tidak nampak parti lain mampu untuk mengatasi rekod yang UMNO ada pada hari ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh : Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit