Hormati Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, Tegas Dr Azhar

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad membidas segelintir pihak yang masih tidak menghormati institusi Perlembagaan negara ekoran cadangan membuka Universiti Teknologi MARA (UiTM) kepada golongan bukan bumiputera.

Jelas beliau, ini kerana universiti tersebut ditubuhkan untuk membantu kaum bumiputera dalam kemajuan akademik seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Masih ada orang tak mahu menghormati Perlembagaan Persekutuan. Apa yang telah diaktakan, kita ikut sahaja. Ini satu-satunya universiti bumiputera sebagai kebanggaan bangsa ini, perjuangan ini, kemerdekaan negara ini akhirnya tertubuh.

“Universiti ini dulu dia panggil Institut Teknologi MARA (ITM) sekarang ini UiTM khusus untuk anak-anak bumiputera. Sudah sepatutnya begitu, di mana-mana dalam dunia ini pun ada satu kebanggaan universiti untuk bangsa peribumi sebuah negara,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Kritikan tersebut juga kepada peguam hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) yang sebelum ini berkata Perlembagaan kerap disalah petik dalam hujah mempertahankan dasar satu kaum di universiti itu.

“Itu pandangan dia tetapi pandangan kita Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan ada menyebut fasal-fasal hak bumiputera iaitu pendidikan, berbahasa, beragama.

“Malahan ada dalam Perlembagaan Persekutuan itu hak-hak bumiputera yang bumiputera tak ambil pun kerana bumiputera tak lebih-lebih pun.

“Kita kena mempertahankan Perlembagaan Persekutuan… negara ini ada buku panduan hidup kita. Selari dengan prinsip bernegara dan prinsip rukun negara,” ujar beliau.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negara dalam pada itu berkata tindakan menyamakan UiTM sebagai akademi ‘apartheid’ suatu yang bersifat keterlaluan dan tidak bertanggungjawab.

Ini kerana katanya kerajaan sejak dahulu lagi telah menubuhkan universiti-universiti di negara yang juga boleh disertai oleh golongan bukan bumiputera dengan pelbagai tawaran kursus.

“Pada masa yang sama anak-anak Malaysia yang bukan bumiputera banyak universiti-universiti yang mereka boleh masuk. Kenapa nak sebut sangat UiTM ni? Saya pun pelik, ada agenda ke yang akan ditimbul balik?

“Lepas itu disebut pula, UiTM ini ‘apartheid’pula. ‘Apartheid’tu Nelson Mandela iaitu Presiden Afrika Selatan menentang dasar-dasar orang kulit putih, menzalimi orang kulit hitam dengan penuh zalim.

“(UiTM) ini dasar pendidikan khas untuk bumiputera. Apartheid apanya orang lain bebas belajar sampai ke Hong Kong, China, Australia, Jerman, UK. Tak ada halangan apa-apa, siapa ada duit pergilah belajar di mana pun mereka hendaki dan dalam Malaysia sendiri ada Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia semua orang boleh masuk,” ujar beliau.

Awal bulan ini, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) merayu agar UiTM mengutamakan kepentingan kesihatan awam dengan membuka sementara program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks kepada pelajar bukan bumiputera bagi mengatasi kekurangan pakar dalam bidang tersebut bagaipun perkara tersebut menimbulkan perdebatan.

Kolumnis, Andrew Sia pula disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1988 ekoran penulisannya yang mendakwa Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengamalkan sistem ‘apartheid’. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.