MINDEF Sentiasa Tekan Soal Pembangunan Modal Insan, Sosioekonomi Bakal Pesara Dan Veteran ATM
KUALA LUMPUR, 29 Mei – Kementerian Pertahanan sentiasa menekankan soal pembangunan modal insan dan sosioekonomi bakal pesara dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini termasuklah dalam membantu menyediakan mereka menghadapi dunia persaraan dan peralihan kerjaya selepas tamatnya perkhidmatan untuk negara.
“Kementerian Pertahanan dan ATM memikul tanggungjawab dalam membangunkan ekosistem yang menyediakan latihan dan pendedahan yang sesuai kepada pesara.
“Ini memastikan mereka dapat kembali kepada masyarakat dengan pemikiran yang betul dan kemahiran yang diperlukan,” kata Khaled yang juga Naib Presiden UMNO dalam satu hantaran di Facebook.
Tambahnya lagi, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) mesti bergerak secara lebih radikal, progresif dan inovatif.
“Perbadanan ini juga perlu memeta pelbagai kerjasama dan menggunakan pendekatan baharu yang bermanfaat, termasuklah dalam mengenal pasti industri dan mengerakkan usaha padanan pekerjaan,” ujarnya lagi.
Khaled turut mengucapkan tahniah kepada penerima Diploma Kemahiran Malaysia (Program Recognition of Prior Experiential Learning – RPEL) dan Sijil Perhebat pada Selasa di Kompleks PERHEBAT, Sungai Buloh, Selangor.
“Mewakili Kerajaan Malaysia, setinggi-tinggi ucapan terima kasih atas sumbangan dan khidmat bakti yang dicurahkan kepada tanah air selama ini.
“Selamat maju jaya!,” katanya. – UMNO ONLINE