Jati Diri Melayu/Islam Adalah Landas Perjuangan, DNA Yang Mengalir Dalam UMNO

KUALA LUMPUR, 27 Mei – Jati diri Melayu/Islam adalah landas perjuangan dan DNA yang mengalir dalam UMNO, namun terbuka kepada kerjasama dengan semua kaum demi menjayakan aspirasi nasional.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Selayang Datuk Hasnal Rezua Merican, UMNO sebagai parti teras masyarakat Melayu membawa parti-parti pelbagai kecenderungan dan idealisme untuk mengambil posisi politik sederhana serta mendakap aspirasi nasional.

“Keberadaan UMNO di dalam Kerajaan Perpaduan hari ini membolehkan UMNO terus berperanan sebagai parti teras Melayu/Islam di dalam Kerajaan.

“UMNO akan memastikan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, hak-hak keistimewaan bangsa pribumi, kedaulatan institusi Diraja dan posisi Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kekal terpelihara seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi satu kenyataan bersempena persidangan UMNO cawangan-cawangan.

Beliau kemudiannya menyingkap tabir sejarah penubuhan UMNO pada tahun 1946 serta peranannya menjuarai penentangan terhadap gagasan Malayan Union sekaligus mendakap aspirasi nasional yang terkehadapan dalam perjuangan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.

Menurut beliau ketika dua pilihan raya yang berlangsung sebelum merdeka, UMNO telah berjaya mengetengahkan satu representasi politik pelbagai kaum bernama Perikatan.

“Gabungan politik Perikatan memimpin Malaya dan kemudiannya, Malaysia sehingga pilihan raya umum tahun 1969 yang disusuli tragedi berdarah 13 Mei, perintah darurat dan penggantungan Parlimen.

“Rentetan daripada peristiwa hitam itu, UMNO yang sarat dengan aspirasi nasional mengorak langkah membentuk gagasan politik baru yang diberi nama Barisan Nasional (BN). BN adalah lambang politik inklusif tersohor di dunia. Ia menggabungkan kawan dan lawan, haluan kiri dan kanan serta merentas sempadan.

“Parti-parti yang pernah menentang hak keistimewaan orang-orang Melayu seperti Gerakan dan Parti Progresif Rakyat (PPP) serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak termasuk parti SNAP serta SUPP yang kuat menentang Gagasan Malaysia dan ‘pengaruh politik Semenanjung’ telah bersetuju menyertai BN,” ujar beliau.

Hasnal dalam pada itu turut sama menyentuh keberadaan UMNO dan Dap yang bersama-sama di dalam Kerajaan Perpaduan, pandangannya langkah tersebut tidak harus dinatijahkan sebagai ‘UMNO telah tergelincir daripada landasan perjuangannya’.

“Sejarah mentintakan bahawa UMNO sentiasa mempunyai sekutu di persada politik nasional.

“Sekutunya termasuk kawan dan lawan, kiri mahu pun kanan, asalkan mereka akhirnya mengambil posisi politik sederhana dan mendakap aspirasi nasional. UMNO akan sentiasa memantau,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit