Jelajah Penerangan: UMNO Komited Perkasakan Parti – Suraya Yaacob

TAMPIN, 26 Mei – Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Suraya Yaacob menjelaskan program Jelajah Penerangan adalah bukti bahawa parti sentiasa komited untuk memperkasakan kembali UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, Jelajah Penerangan UMNO bekerja dalam satu pasukan bagi mencorakkan pendekatan, misi dan visi demi parti.

“Visi dan misi Jelajah Penerangan UMNO adalah memperkasakan imej UMNO dan BN iaitu melalui strategi komunikasi yang berkesan, mesej yang jelas, konsisten dan mencapai sasaran demografi.

“Percayalah usaha ini dilakukan bagi mempertahankan kerusi yang dimenangi pasrti dan merampas kembali mana yang kita tewas. Program ini disusun khas bagi mengekalkan kemenangan BN dalam apa jua keadaan untuk PRU ke-16 akan datang.

“Pastinya, segala usaha perlu dilakukan dari hari ini bagi kita mengekalkan kemenangan. Siapa rakan kongsi nanti itu tidak penting, yang penting kekuatan, perpaduan, kesetiaan UMNO perlu kita kekalkan hingga ke-16 akan datang,” katanya.

Beliau berkata pada majlis Jelajah Penerangan UMNO, di bangunan UMNO Tampin, Negeri Sembilan, pada Jumaat.

Turut hadir Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Nizar serta kepimpinan UMNO bahagian Tampin.

Suraya yang juga Ketua UMNO Bahagian Pendang berkata ahli parti harus mempromosikan prestasi Ahli Parlimen di mata masyarakat.

“Kita juga perlu mempromosikan prestasi pemimpin UMNO dan BN. Sebagai contoh, di Tampin ada Ketua UMNO bahagian merangkap Ahli Parlimen. Kita perlu mempromosikan prestasi Ahli Parlimen dan Ketua UMNO bahagian.

“Kita kena tunjukkan dalam pelbagai pendekatan termasuk media sosial apa yang kita lakukan,” jelasnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit