Dr Akmal Tegaskan Portal Newswav Fitnah, Tuntut Turunkan Artikel Dan Mohon Maaf Secara Rasmi

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh menegaskan bahawa kenyataan dalam portal Newswav berkaitan dirinya adalah tidak benar dan merupakan satu fitnah.

Katanya, menerusi sebuah artikel yang disiarkan pada 25 Mei 2024 ditulis oleh seorang yang bernama Zulaikha Farhana, tersebut terdapat butiran yang tidak benar dan berunsur fitnah terhadap diri beliau.

Ujarnya, di perenggan ke empat artikel tersebut, penulis mengatakan di dalam Bahasa Inggeris “Adding to the drama, Akmal is facing charges under Section 16(a)A and 24(1) of the Malaysian Anti-Corruption Commission (MACC) Act. The alleged bribery incident is reported to have occurred at Yayasan Tanah Aku, located at Solaris Dutamas in Kuala Lumpur.”

“Saya menegaskan bahawa kenyataan ini adalah tidak benar dan merupakan satu fitnah. Saya tidak pernah menghadapi apa-apa tuduhan di bawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ataupun mana-mana pihak berkuasa di negara ini.

“Portal Newswav dan penulis yang menyiarkan artikel fitnah ini telah menyebabkan kredibiliti serta reputasi saya sebagai seorang pemimpin serta individu tercemar. Ianya juga telah menimbulkan persoalan serta persepsi negatif berkaitan integriti diri saya sebagai seorang pemimpin,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.

Ujar Dr Akmal, terbukti dengan jelas bahawa artikel ini adalah satu fitnah jahat bagi mencemarkan kredibiliti serta reputasi beliau sebagai seorang pemimpin serta institusi pimpinannya.

“Saya menuntut agar portal Newswav dan penulis menurunkan artikel ini dalam tempoh masa 24 jam serta membuat kenyataan maaf secara rasmi kepada saya berkait artikel fitnah yang telah mereka siarkan ini.

“Saya juga telah mengarahkan pasukan peguam saya untuk meneliti hal ini dari sudut perundangan supaya satu tindakan undang-undang dapat dijalankan jika pihak portal Newswav serta penulis gagal memenuhi tuntutan ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit